BIARPUN tewas 1-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah tetap berbangga dengan aksi ditunjukkan pemainnya.
Menurutnya, keberanian pemain muda memberikan tentangan sengit kepada JDT harus diberikan pujian walaupun mengetahui keupayaan pasukan lawan.
“Walaupun kami tewas, pemain kami berjuang. Kita berjuang bersungguh-sungguh dan tanpa memberikan laluan mudah walaupun keputusan memang memihak besar 4-1 kepada pihak lawan, saya kena salute kepada semua pemain yang telah memberikan segala-galanya kepada 21,000 penonton pada malam ini.
“Pemain yang kita ada hari ini memiliki kemampuan teknikal yang baik, cuma hormat yang terlalu tinggi buat lawan menyebabkan mereka (pemain Perak FC) nampak terlalu kerdil,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Perak FC dan JDT di Stadium Perak di Ipoh pada Khamis.

