am@hmetro.com.my
Kuching: “Kitak sik sayang kamek lagikah?” (Awak tidak sayang saya lagikah?) Itu kata-kata terakhir Arif Fahmi Aiman Mohd Tinggal, 12, kepada ibunya sebelum dia keluar ke sungai untuk menjala pagi tadi.
Tidak disangka itulah kali terakhir mereka bersua kerana tidak lama selepas itu, kanak-kanak terbabit maut disambar buaya ketika menjala di sungai di Kampung Empila, Samarahan.
Bapanya, Mohammad Tinggal Ali, 52, berkata beliau pelik kenapa anaknya mengucapkan kata-kata itu, sedang dia tiada sebarang masalah dengan ibunya.
“Saya masih hairan apabila isteri saya memaklumkan Arif meluahkan kata-kata itu sebelum dia turun ke sungai,” katanya yang ditemui di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) ketika menunggu proses bedah siasat jenazah anaknya itu, hari ini.
Arif Fahmi disambar reptilia ganas itu ketika dia berada di dalam perahu sendirian kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Berdasarkan maklumat daripada seorang lelaki iaitu saksi kejadian, kanak-kanak itu sedang menebar jala dari atas perahu di jarak kira-kira 10 meter dari bot saksi yang ketika itu sedang memancing.
Lelaki itu mendengar mangsa menjerit dan apabila dia menoleh ke arah suara itu, didapati mangsa hilang dari pandangan.
Mayat kanak-kanak itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 9.50 pagi selepas bajunya tersangkut pada sauh yang digunakan untuk mencarinya.
Mohammad Tinggal berkata, ketika mayatnya ditemui, tali jala masih terikat di lengan anaknya itu.
“Dia memang mempunyai hobi berbeza dengan kanak-kanak lain yang kebanyakkannya leka bermain gajet, tetapi anak saya ini boleh dikatakan setiap hari ke sungai untuk menjala.
“Mula-mula dahulu dia suka memancing, namun sejak tahun lalu iaitu ketika dia dalam Tahun 5 di Sekolah Kebangsaan (SK) Empila, dia mula menjala,” katanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di SK Empila.
Kerana terlampau minat menjala, Arif Fahmi kini memiliki tujuh rawan jala dengan lima dibelinya hasil jualan udang yang ditangkapnya manakala dua lagi jala pemberian bapanya.
“Saya pun pelik, kenapa dia terlalu minat menjala dan begitu berani turun ke sungai dalam keadaan gelap awal pagi, sedangkan saya pun takut ke sungai kerana memang diketahui banyak buaya di sungai itu.
“Memang itulah aktiviti hariannya. Kalau tidak ke sungai, dia akan ke tali air untuk memancing,” katanya.
Menurut Mohammad Tinggal lagi, beliau turut terkilan kerana hasrat Arif Fahmi untuk khatam al-Quran hujung tahun ini, tidak kesampaian.
“Baju untuk dia pada majlis khatam al-Quran itu sudah siap dan dia sebenarnya seolah-olah tidak sabar menunggu majlis itu.
“Tetapi saya reda dengan ketentuan ini. Kita sayangkan dia, tetapi Allah lebih menyayanginya,” katanya dengan nada sebak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




