LOTUSS Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) terus menjalankan tanggungjawab sosialnya #KitakanJiran dengan membantu 200 keluarga beragama Islam yang memerlukan melalui kariah masjid tempatan.
Bersempena ramadan Lotus’s Malaysia melancarkan kempen kebajikan bertemakan Senyuman Paling Bernilai dengan kerjasama Coca-Cola Refreshments (Malaysia) Sdn Bhd melalui inisiatif Act of Kindness.
Ketua Komunikasi dan Kelestariannya, Hanim Hamdan berkata, setiap keluarga akan menerima ayam segar Lotus’s serta barangan keperluan asas bernilai RM250 bagi memastikan mereka dapat berpuasa dengan lebih selesa selain menikmati hidangan berkhasiat.
Menurutnya, sumbangan pertama telah disampaikan oleh sukarelawan daripada kedua-dua syarikat pada hari ke-10 ramadan kepada jemaah Masjid Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Tambah beliau, program itu akan diteruskan lagi dengan komuniti lain termasuk di Rawang, Bangi dan Kota Bharu, Kelantan pada minggu akan datang.
“Peluang untuk berbuat baik sentiasa akan menyatukan kita.
“Kempen kebajikan sepanjang ramadan seperti ini bukan sahaja memberikan sukarelawan dan rakan niaga matlamat yang sama, tetapi memberikan perasaan kepuasan serta keikhlasan dalam membantu golongan memerlukan lebih-lebih lagi dalam bulan mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Hanim, secara keseluruhan, jumlah sumbangan termasuk ayam segar, barangan keperluan asas, minuman, konfeksi dan perasa dianggarkan bernilai RM250,000.
Jelas beliau, seperti tahun sebelumnya, Lotus’s Malaysia akan meneruskan Program Masakan Ramadan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan dan sebanyak 600 hidangan turut disediakan dengan sokongan sukarelawan daripada Food Aid Foundation termasuk rakan jenama.
Ulasnya, inisiatif itu dibuat bagi memastikan golongan yang memerlukan dapat menikmati juadah berbuka puasa yang berkhasiat.
“Seramai 220 sukarelawan akan turun padang ke seluruh negara bagi menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam dan masjid-masjid tempatan.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih daripada 16,000 individu yang memerlukan serta keluarga mereka.
“Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kita dapat menyaksikan pelbagai aktiviti kebajikan berlangsung di seluruh tempat,” ujarnya.
Dengan rangkaiannya di seluruh negara, Lotus’s Malaysia bertekad untuk membantu komuniti di 40 lokasi sepanjang Ramadan ini.
Turut serta dalam program kebajikan pada kali ini melalui sumbangan produk adalah syarikat-syarikat seperti Coca-Cola, PK Agro-Industrial Products Sdn Bhd, Fraser & Neave (Malaya) Sdn Bhd, Mondelēz Malaysia Sales Sdn Bhd, Etika Sdn Bhd, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd.