KJ, penduduk Bukit Damansara tegas bantah cadangan pencakar langit di Jalan Semantan

KJ, penduduk Bukit Damansara tegas bantah cadangan pencakar langit di Jalan Semantan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penduduk Bukit Damansara sekali lagi tegas membantah cadangan pembinaan bangunan bercampur setinggi 60 tingkat di Jalan Semantan, di sini kerana projek itu akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan kejiranan itu.

Bantahan itu diluahkan penduduk menerusi sesi dialog penduduk Bukit Damansara bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pusat Komuniti Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Antara yang hadir termasuk Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Presiden Persatuan Penduduk Kawasan Setiakasih (Perkasih), Zuhairah Ali.

Rata-rata yang hadir menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula pelan pembangunan di tapak bekas Wisma Damansara, sebahagian daripada tanah seluas 3.64 hektar milik BRDB Development Sdn Bhd.

Khairy berkata, komuniti di situ tidak menolak pembangunan, sebaliknya bimbang infrastruktur jalan raya di situ tidak boleh menampung pertambahan kenderaan yang akan melalui Jalan Semantan yang sedia ada sesak ketika ini.

“Jalan Semantan ini bukan hanya digunakan oleh penduduk Bukit Damansara, Jalan Semantan adalah sebahagian daripada sistem jalan raya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

“Orang yang bekerja di Petaling Jaya menggunakan Jalan Semantan dan juga jalan-jalan yang ada di sekitar Bukit Damansara.

“Memang sekarang ini dah tak selesa. Kalau ada pembangunan seperti mana yang disebutkan tadi, hampir 80 peratus dari keluasan KLCC, ia akan jadi lagi teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyatakan sudah ada stesen MRT Semantan dan pengangkutan awam patut digalakkan, Khairy menegaskan bahawa ia tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan.

“Memang ramai yang dah guna MRT di Semantan. Malah dua minggu lalu, apabila berlaku gangguan di Stesen Semantan, kita tengok berapa ratus pengguna yang tersangkut di situ.

“Jadi, bayangkan kawasan yang dah ada ramai pengguna MRT disebabkan pekerja pejabat yang datang ke Bukit Damansara, tambah pula dengan bangunan tersebut, ia bukan sesuatu yang mampan,” katanya.

Sementara itu, wakil DBKL memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengambil maklum kebimbangan disuarakan penduduk dan sebuah jawatankuasa sudah ditubuhkan untuk mengkaji semula pelan pembangunan itu demi kesejahteraan penduduk Bukit Damansara.

Pada 4 Oktober lalu, kira-kira 200 penduduk Bukit Damansara berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap cadangan pembangunan di Lot 482210, 482211 dan 482212, Jalan Semantan, Bukit Damansara, di sini yang dipamerkan dalam akhbar tempatan pada 1 Ogos 2025.

Cadangan pembangunan itu membabitkan pembinaan bangunan pencakar langit sehingga 60 tingkat yang dikhuatiri menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin parah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top