yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Khairy Jamaluddin terus berdiam diri biarpun diasak pelbagai soalan mengenai kemungkinan bekas Menteri Kesihatan itu kembali menyertai UMNO.
Bekas Ketua UMNO Rembau itu juga hanya memaklumkan beliau akan mengumumkan keputusan mengenai perkara berkenaan dalam masa terdekat.
“Apabila sudah tiba masanya saya akan maklumkan,” katanya mengulas sama ada bekas Ketua Pemuda UMNO itu sudah menghantar borang permohonan untuk kembali menyertai parti berkenaan.
Media sebelum ini, melaporkan Khairy meminta diberi tempoh beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai hasrat kembali menyertai UMNO.
Beliau dipetik berkata, tempoh itu diperlukan selepas menerima banyak pertanyaan berhubung perkara berkenaan.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula mengesahkan tiada perbincangan mengenai hasrat Khairy kembali menyertai UMNO, selain tidak menafikan laporan mengenai desas-desus berkenaan.
Dalam pada itu, Khairy berkata, kemunculan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, tiada kaitan dengan hasratnya untuk kembali menyertai UMNO.
Beliau sebaliknya menegaskan penampilannya hanya untuk membantu program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0: Reformasi Sistem Pendidikan pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru anjuran Pemuda UMNO.
“Program hari ini, bukan acara politik, tetapi berkaitan pendidikan, dianjurkan Pemuda UMNO.
“Saya pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO. Jadi saya datang membantu menjayakan program ini.
“Terima kasih kepada Pemuda UMNO dan Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kerana mengundang saya untuk memberikan pandangan berkaitan isu sistem pendidikan negara,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Sementara itu, Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan bersedia membantu mana-mana pemimpin dipecat atau digantung keahlian mahupun sudah menyertai parti lain, untuk kembali kepada UMNO.
EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Melaka itu juga mengalu-alukan penyertaan semula pemimpin terbabit, selain menegaskan bakal menggunakan saluran serta prosedur ditetapkan parti bagi tujuan berkenaan.
“Penyertaan anda semua sangat dialu-alukan, kita dan UMNO tidak pernah menghalang mana-mana pemimpin bertemu ahli yang dibuang atau dikenakan apa-apa tindakan (disiplin).
“Saya tidak pernah dikenakan tindakan apabila berjumpa Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Khairy. Malah dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pun tak pernah marah saya untuk jumpa (pemimpin dikenakan tindakan disiplin).
“Inilah keterbukaan UMNO dan untuk menerajui UMNO hari ini, saya rasa kita perlu hentikan ‘gaduh lama-lama’, biarlah bersatu dan bertaut kembali. Yang penting UMNO boleh dibawa ke depan, insya-Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




