KJ tuntut RM2 juta saman fitnah pendakwah isu vaksinasi

KJ tuntut RM2 juta saman fitnah pendakwah isu vaksinasi

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menuntut ganti rugi sebanyak RM2 juta dalam saman fitnah terhadap pendakwah, Rasyiq Alwi berhubung dakwaan mengenai status vaksinasinya.

Ketika prosiding di Mahkamah Tinggi semalam, peguam Khairy, Abdul Rashid Ismail, berkata Rasyiq membuat kenyataan berunsur fitnah di media sosial dengan niat memperlekehkan anak guamnya yang memainkan peranan utama dalam penyelarasan program vaksinasi Covid-19 negara.

Beliau berkata, pendakwah itu secara langsung merujuk kepada Khairy dalam hantaran yang dimuat naik serta turut ‘tag’ akaun media sosial bekas menteri itu.

Menurutnya, Rasyiq juga tidak menunjukkan sebarang keinsafan, malah selepas menerima dokumen undang-undang daripada pasukan Khairy, beliau mengeluarkan ‘permohonan maaf’ secara sinis.

Khairy mengambil tindakan undang-undang pada 2022 dengan mendakwa Rasyiq menyebarkan dakwaan palsu kononnya beliau mengelirukan orang ramai mengenai status vaksinasi dirinya.

Beliau berhujah bahawa tuduhan itu boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani pandemik.

Walaupun sudah dimaklumkan mengenai tarikh perbicaraan, Rasyiq tetap tidak hadir ke mahkamah.

Rashid memberitahu mahkamah, walaupun pendakwah itu tidak diwakili peguam, namun pihaknya sudah memaklumkan mengenai perkembangan kes dan sebelum ini pernah menghadiri sesi pengurusan kes sebelum perbicaraan.

“Beliau berulang kali meminta penangguhan dengan alasan perlu melantik peguam baharu atau mendakwa berada di luar negara.

“Ketiadaan beliau secara berterusan menunjukkan sikap tidak menghormati arahan mahkamah.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan 15 April untuk keputusan kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top