yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Selepas empat tahun dipecat, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar malam ini, secara terbuka mengumumkan mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda Rumah Bangsa.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan menerusi petikan audio siar Keluar Sekejap turut mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar membuat draf surat permohonan bagi tujuan berkenaan.
“Saya melihat ini sebagai perkembangan positif dan peluang murni bagi saya secara peribadi.
“Bolehlah Bobby (Raja Syahrir) mula draf surat (permohonan menyertai Rumah Bangsa), saya hendak tengok draf surat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu Rumah Bangsa kepada mana-mana bekas ahli dipecat atau digantung keanggotaan untuk kembali mahupun mana-mana individu mahu bersama perjuangan berkenaan untuk menyertai UMNO.
Rakaman penuh episod 191 audio siar Keluar Sekejap yang menyentuh ulasan Khairy berhubung hasrat beliau kembali menyertai UMNO itu dijangka disiarkan di platform media sosial beliau, esok.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.
Beliau juga berharap usaha itu dipermudah dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, selain memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara.
Pada Januari 2023, UMNO dilaporkan memecat Khairy, selain menggantung keahlian Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian selama enam tahun, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Selain itu, lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat.
Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon Bebas serta selain Barisan Nasional (BN) serta terbabit membantu parti lawan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15.
© New Straits Times Press (M) Bhd




