KJH: Pertandingan Pelumba Cilik NSTP tarikan pengunjung kanak-kanak

KJH: Pertandingan Pelumba Cilik NSTP tarikan pengunjung kanak-kanak

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Reruai NSTP di Karnival Jom Heboh X Hari Nanas Malaysia yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall di sini terus memberi kegembiraan kepada pengunjung terutama kanak-kanak.

Pengurus Pembangunan Perniagaan & Projek Khas NSTP, Tengku Kaifi Mirza Tuan Cherit berkata, pada hari akhir hari ini berlangsung Pertandingan Pelumba Cilik NSTP secara simulasi.

Katanya, sebanyak 16 peserta berusia antara enam hingga 14 tahun akan membawa pulang piala NSTP, kereta kawalan jauh dan beberapa hadiah kereta mainan yang menarik.

“Kita buat empat pusingan dengan lima hadiah pemenang utama, yang mana kesemua pemenang akan membawa pulang hadiah, peserta tidak akan pulang dengan tangan kosong.

“Aktiviti ini diadakan untuk meraikan dan memberi kegembiraan untuk kanak-kanak, ini kerana kita tahu kebanyakan pengunjung yang datang ke Karnival Jom Heboh (KJH) membawa keluarga dan ingin bergembira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa penyampaian hadiah Pertandingan Pelumba Cilik NSTP di reruai NSTP di KJH X Hari Nanas Malaysia yang disampaikan oleh Pengarah Projek KJH, Eileen Lim di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Pertandingan itu menyaksikan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perling 2, Seth Iskandar Mohd Nasruddin, 12, diumum juara, diikuti tempat kedua Muhammad Aqil Che Azit, 11 (SK Kota Masai 2) dan tempat ketiga diraih, Anis Alisha Che Azit, 14 (SMK Kota Masai 2), yang berkunjung ke karnival itu bersama keluarga masing-masing.

Tengku Kaifi Mirza berkata, lebih 2,000 pengunjung mengunjungi reruai NSTP sepanjang tiga hari karnival yang membawakan tarikan permainan simulasi dan virtual maya.

Katanya dengan bayaran serendah RM5, pengunjung berkeluarga boleh mencuba permainan simulasi dan Realiti Maya (VR) yang dibawakan khas itu.

“KJH kali ini, NSTP bawakan keterujaan pemanduan dengan NSTP Car Sim Experience, yang mana pengunjung boleh menguji kemahiran memandu mereka melalui simulasi realistik yang menyerupai pengalaman di litar perlumbaan sebenar.

“Permainan VR membawakan pengalaman hebat seperti menaiki ‘roller coster’ yang sebenar.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak penaja beras Faiza, air minuman Nibou, Yakult, Al Zara, Sime Darby atas tajaan cenderahati kepada pengunjung sepanjang karnival ini,” katanya.

Sementara itu, pemenang Seth Iskandar berkata minatnya terhadap permainan berteknologi tinggi, VR memudahkannya mengendalikan pemanduan secara simulasi.

“Saya memang minat dengan permainan VR, lebih mudah dikuasai berbanding permainan dalam telefon pintar.

“Saya suka dan bercita-cita mahu menjadi seorang pemain games profesional satu hari nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top