RANGKAIAN pasar raya tempatan, KK Super Mart menyambut baik pemberian RM100 secara one-off sempena pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Jenama itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membuka ruang pilihan kepada semua untuk berbelanja menggunakan bantuan menerusi MyKad tersebut bermula 31 Ogos ini.
Sebagai salah satu rakan runcit dalam program berkenaan, pihaknya sentiasa komited untuk mendukung agenda bantuan kerajaan dan bangga menjadi sebahagian dalam usaha sedemikian.
“Kami juga mengalu-alukan kedatangan semua penerima bantuan ke semua cawangan bagi menikmati pengalaman membeli-belah yang mudah, selesa dan bernilai.
“Selain mempunyai kelebihan dari aspek pengoperasian 24 jam dan mementingkan ciri keselamatan, kami juga menawarkan kepelbagaian perkhidmatan dan hampir 6,000 stok produk dalam setiap premis,” katanya.
Pada masa sama, KK Super Mart melihat kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada golongan memerlukan.
“Bermula inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 dan seterusnya diperluaskan bantuan melalui Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kami percaya kerjasama berterusan antara sektor swasta dan kerajaan dapat meringankan beban kos sara hidup serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela,” katanya.
Sebanyak 13 kategori barang keperluan asas tersenarai dalam program SARA termasuk beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, produk kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Semua penerima STR dan SARA membeli barang keperluan asas tanpa tunai dengan menggunakan sistem MyKasih yang terdapat di syarikat rakan runcit yang terpilih.
MyKasih Foundation turut komited untuk menjalin kerjasama dalam memperluaskan lagi usaha menambah MyKasih KK Super Mart di lokasi baharu seluruh Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi di www.kksupermart.my atau platform media sosial rasmi.