KKDW pastikan projek BALB Sabah dipercepat, dilaksana sepenuhnya

KKDW pastikan projek BALB Sabah dipercepat, dilaksana sepenuhnya

KUDAT: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memastikan projek baharu dan sambungan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah dipercepat serta dilaksanakan sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha berkenaan sudah dimulakan dan kementerian itu akan terus memantau selain membantu kerajaan negeri Sabah dalam memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Katanya tugas berkenaan telah diserahkan secara rasmi kepada kerajaan negeri selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air (JBA) dan KKDW.

“Saya telah menyerahkan tugas secara rasmi dengan kelulusan oleh Jemaah Menteri, dan saya telah menyerahkan surat secara rasmi kepada kerajaan negeri melalui JBA, JKR dan KKDW untuk dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2027 oleh mereka.

“Kami di KKDW akan memantau dan juga membantu dari segi pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rungus anjuran Persatuan Momogun Rungus Malaysia (PMRM) bertempat di Dewan (PMRM), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, proses projek telah bermula menerusi beberapa siri perbincangan dan mesyuarat antara KKDW dengan pihak kerajaan negeri Sabah.

“Ia sebenarnya telah mula berjalan. Saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat di Kota Kinabalu dan mereka juga telah datang ke KKDW untuk berurusan dengan saya dan pasukan KKDW.

“Ia telah bermula dan setakat ini saya merasakan bahawa usaha ini mesti dipercepatkan untuk pelaksanaan sepenuhnya oleh pihak kerajaan negeri Sabah,” katanya.

Pada April lalu, media melaporkan Ahmad Zahid mengumumkan sebanyak 83 projek baharu dan sambungan BALB Sabah diluluskan termasuk 37 projek pra-pelaksanaan bagi tahun ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.06 bilion.- UTUSAN

 

Scroll to Top