KKM beri jaminan peruntukan perkhidmatan kesihatan asas tidak terjejas

KKM beri jaminan peruntukan perkhidmatan kesihatan asas tidak terjejas

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan peruntukan belanjawan bagi perkhidmatan kesihatan asas termasuk rawatan pesakit, kecemasan dan bekalan ubat-ubatan tidak akan terjejas atau dikurangkan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keutamaan KKM adalah memastikan perkhidmatan teras kesihatan terus dipelihara seperti yang telah dirancang dalam Belanjawan 2026.

“Yang mungkin boleh dikurangkan adalah perkara lain di luar perkhidmatan asas, dan itu masih dalam peringkat cadangan serta pertimbangan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Malaysia Occupational Health Services For Public Sector (MyOHS-PS) di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, kenyataan yang berlegar sebelum ini adalah hanya cadangan pelarasan perbelanjaan mengurus (OE) yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) susulan perbincangan selepas mesyuarat Kabinet, dan bukannya keputusan muktamad melibatkan pemotongan peruntukan.

Menurutnya, cadangan pelarasan itu dikemukakan oleh MOF dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) untuk diperhalusi, termasuk mendapatkan maklum balas kementerian berkaitan.

“Bagaimanapun, rundingan masih berjalan bagi memastikan sebarang pelarasan tidak menjejaskan perkhidmatan teras kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, antara langkah yang mungkin dipertimbangkan adalah pengurangan pengisian jawatan tertentu, namun ia tidak melibatkan keperluan jawatan kritikal.

“Baru-baru ini kita menerima tambahan kira-kira 4,500 jawatan, khususnya melibatkan doktor kontrak, dan ini menunjukkan komitmen untuk memperkukuh sistem kesihatan. Insya-Allah, perkara (4,500 perjawatan) itu tidak akan terjejas dalam konteks perkhidmatan utama,” katanya.

Sebelum ini, MoF mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Cadangan itu dilaporkan dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan, khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara. – UTUSAN

Scroll to Top