KKM diminta umum keputusan rentas negeri sempena Hari Raya lebih awal

Kerajaan akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pengumuman lebih awal mengenai keputusan sama ada membenarkan rentas negeri sempena sambutan Aidiltri.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengumuman lebih awal akan memudahkan orang ramai membuat persiapan dan mengurangkan kesesakan pembelian tiket pengangkutan awam.

“Apabila membuat penilaian risiko, mereka (KKM) tahu sekiranya buka, apa risikonya atau kesannya. Jadi kita tunggu dari KKM boleh atau tidak (rentas negeri).
“Ia bukan kuasa kita. Kita lihat, sebelum ini apabila kerajaan membenarkan rentas negeri, terdapat 31 kluster balik kampung, sebab itu KKM berhati-hati pada kali ini.
“Kita akan minta KKM supaya buat keputusan lebih awal. Ya atau tidak biar lebih awal. Jadi rakyat boleh bersedia.
“Kita akan umum dalam waktu terdekat kerana kita tidak mahu ganggu orang balik kampung, (memudahkan orang ramai yang) ingin beli tiket pesawat, bas dan sebagainya,” katanya.

Gambar sekadar hiasan

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang meneliti sama ada rentas negeri untuk Aidilfitri pada bulan depan dibenarkan atau tidak.

Sumber: Bernama , Harian Metro (Nurul Amanina Suhaini)