am@hmetro.com.my
Muar: Kementerian Kesihatan (KKM) terus menguatkan kerjasama dengan agensi keselamatan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi mengekang penyeludupan masuk produk kesihatan tidak sah.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama itu terbukti berhasil susulan rampasan ubat tidak berdaftar bernilai RM85,000 yang cuba diseludup masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
“Usaha KKM mengekang kemasukan produk kesihatan tidak sah menjadi pendekatan penting seluruh kerajaan melalui kerjasama dengan AKPS dan juga agensi lain di bawahnya.
“Kita ada 6,000 pegawai dan anggota di bawah AKPS yang mana terdiri daripada polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) , Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohtar Pungut.
Katanya, penguatkuasaan dilaksana mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan peraturannya serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
© New Straits Times Press (M) Bhd