KKM pertimbang naik gaji jururawat elak berhijrah ke luar negara

KKM pertimbang naik gaji jururawat elak berhijrah ke luar negara

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Mempertimbangkan kenaikan upah atau elaun jururawat menjadi antara langkah yang akan diambil Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengatasi masalah ‘perang gaji’ bagi mengekalkan jururawat daripada berhijrah ke luar negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, selain meningkatkan jumlah pengambilan jururawat, menaikkan upah atau elaun seperti ‘post-basic’ akan menjadi pertimbangan dalam Program Kejururawatan.

“Kita tahu negara jiran menawarkan remunerasi yang lebih tinggi, jadi kita perlu ambil tindakan segera.

“Namun, harus diingat tiada jalan pintas untuk atasi masalah ini kerana ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk satu kohort graduan diploma atau ijazah tamat pengajian,” katanya selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Auditorium Kompleks E, di sini, tadi.

Dr Dzulkefly mengakui isu kekurangan jururawat bukan perkara baru dan ia adalah satu masalah legasi terutama suatu masa dahulu ketika melaksanakan moratorium dan penutupan beberapa Institut Latihan KKM (ILKKM).

Katanya, ia menyebabkan ketika ini berhadapan dengan masalah kekurangan jururawat bukan sahaja jururawat yang ada kepakaran ‘post-basic’, tetapi jururawat secara amnya di kedua-dua sektor awam dan swasta.

“Jadi kita saksikan hari ini apa yang diistilahkan sebagai ‘perang gaji’. Saya kira ini satu tanda jelas berlaku perebutan.

“Perkara ini telah kita bincangkan dengan Pengarah Kejururawatan dan beberapa sesi libat urus telah diadakan dengan pihak swasta,” katanya.

Justeru beliau berkata, pihaknya akan terus menangani dan berusaha membendung aliran keluar jururawat bukan sahaja di pihak awam tetapi juga swasta.

“Jadi kita akan terus adakan perbincangan untuk atasi perkara ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kajian terkini MBSB Research mendapati pasaran tempatan mencatatkan kadar kekosongan jawatan jururawat di paras kritikal sekitar 15 peratus hingga 18 peratus pada tahun ini.

Fenomena kekurangan tenaga kerja itu memaksa penyedia kesihatan swasta terjerumus dalam persaingan agresif atau ‘perang gaji’ semata-mata demi mengekalkan jururawat sedia ada daripada berhijrah ke luar negara seperti Singapura mahupun Asia Barat.

Syarikat hospital swasta terpaksa menaikkan gaji bulanan secara ketara serta memperkenalkan bonus kesetiaan untuk menghalang penghijrahan kakitangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top