fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Hospital Papar di Sabah terbakar malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menteri Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha juga sedang dilakukan untuk memastikan semua pesakit dan kakitangan hospital berkenaan dalam keadaan selamat.
Katanya, perkembangan mengenai kejadian itu akan dimaklumkan setelah siasatan dijalankan.
“Saya juga telah dimaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Evakuasi yang perlu juga telah dibuat dengan berjaya, termasuklah ke hospital berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan untuk kekal tenang dan memberi seluas-luasnya ruang untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menjalankan tugas mereka.
“Kemaskini seterusnya akan diberikan setelah siasatan dibuat dan segala pengesahan diperoleh daripada pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau meminta orang ramai agar mendoakan keselamatan dan kesihatan pihak terbabit kebakaran itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd