mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 352 aduan berkaitan isu komplikasi selepas menjalani prosedur estetik yang dijalankan di premis tidak berdaftar sepanjang tempoh hampir dua tahun kebelakangan ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah aduan itu diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) dan e-mel sejak 2023 sehingga September tahun ini.
“Pada 2023, KKM menerima 306 aduan melalui Sispaa dan emel berhubung isu komplikasi selepas menjalani prosedur estetik yang dijalankan di premis tidak berdaftar.
“Begitu juga pada tahun 2024 sehingga September, KKM turut menerima 46 aduan lagi berkaitan isu serupa,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia.
Beliau menjawab pertanyaan Teresa Kok Suh Sim (PH- Seputeh) mengenai jumlah aduan mengenai kesilapan pembedahan kosmetik diterima KKM serta garis panduan bagi melindungi pengguna.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pakar perubatan bedah plastik di hospital kerajaan di seluruh negara pula menerima dan merawat 74 pesakit yang mendapat komplikasi daripada prosedur kecantikan yang dijalankan di premis yang tidak berdaftar.
“Statistik berkaitan aduan dan rawatan pemulihan ini berkemungkinan besar tidak menggambarkan situasi sebenar kes komplikasi yang berlaku kerana data ini tidak merangkumi kes-kes rawatan pemulihan yang diterima di hospital swasta dan ramai lagi mangsa yang tidak bersedia untuk tampil membuat aduan.
“KKM tidak pernah memberi keizinan atau membenarkan sebarang prosedur pembedahan atau prosedur estetik invasif dijalankan di pusat kecantikan,” katanya.
Katanya, prosedur estetik invasif ini hanya boleh dijalankan di premis berdaftar atau berlesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“Prosedur estetik invasif ini juga hanya boleh dijalankan oleh pengamal perubatan berdaftar yang memegang Letter of Credentialing and Privileging (LCP) untuk Amalan Perubatan Estetik.
“Justeru, prosedur estetik invasif ini ialah prosedur perubatan dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) sekiranya dijalankan di pusat-pusat kecantikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




