mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai kuasa menyekat pengamal perubatan tempatan daripada mencari pekerjaan di luar negara termasuk menghalang usaha pengambilan dilakukan oleh agensi pencarian bakat asing yang sah berdaftar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dari sudut perundangan dan diplomatik, tindakan agensi pencarian bakat luar negara termasuk dari Singapura tidak melanggar mana-mana perjanjian dua hala atau peraturan antarabangsa.
“Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mereka yang ingin berkhidmat di luar negara, mahupun menghalang agensi berlesen daripada merekrut tenaga kesihatan tempatan bagi penempatan luar negara, selagi agensi itu berdaftar secara sah dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
“Justeru, tanggungjawab besar terletak kepada KKM sendiri untuk memperkukuh usaha mengekalkan bakat sedia ada dan membendung peningkatan trend penghijrahan profesional kesihatan ke luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perkembangan itu susulan tindakan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura yang kini sedang menjalankan sesi temu duga secara langsung dengan doktor dan pengamal perubatan am (GP) dari Malaysia di Hotel Traders KLCC, Kuala Lumpur.
Menerusi satu perkongsian di platform Threads oleh pengguna @dr_amandaelli, sesi pengambilan itu disertakan dengan tawaran pakej yang sangat menarik termasuk gaji permulaan sebanyak SGD110,000 setahun (kira-kira RM385,000) tidak termasuk elaun penginapan bulanan, insurans dan pelbagai manfaat lain.
Dr Dzulkefly berkata, KKM memandang serius tindakan agensi pencarian bakat berpangkalan di Singapura yang giat merekrut profesional kesihatan negara untuk berkhidmat di republik itu termasuk melalui sesi temu duga terbuka yang diadakan di institusi pengajian tinggi tempatan dan lokasi berprofil tinggi seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Beliau berkata, tindakan itu menggambarkan pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem latihan kesihatan negara, namun pada masa sama mencetuskan cabaran besar dalam mengekalkan tenaga kerja kesihatan dalam sistem awam.
“Malaysia diiktiraf sebagai negara yang melahirkan ramai profesional kesihatan bertaraf dunia, namun kita berdepan cabaran besar untuk mengekalkan bakat ini dalam sistem awam.
“Oleh itu, KKM sedang melaksanakan reformasi semasa melalui beberapa inisiatif antaranya pindaan Akta Perubatan 1971 bagi memperluas laluan kepakaran seperti Parallel Pathway, kenaikan gaji 13 peratus mulai tahun ini serta penawaran 2,248 jawatan tetap kepada pegawai perubatan kontrak iaitu jumlah terbesar sejak dasar kontrak diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata, KKM turut melaksanakanusaha memperbaiki sistem penempatan ePlacement, mengurangkan kebergantungan kepada model kontrak serta membina laluan kerjaya lebih jelas bagi pegawai perubatan.
“KKM juga memberi penekanan serius terhadap isu keletihan melampau (burn-out), budaya kerja toksik dan gangguan di tempat kerja dengan memperkenalkan garis panduan baharu serta siasatan dalaman yang lebih tegas.
“Dalam usaha jangka panjang, satu kajian oleh Strategic Engagement Group (SEG) turut mencadangkan penubuhan Lembaga Tadbir Urus Sumber Manusia dalam Sektor Kesihatan yang melibatkan pelbagai kementerian.
“Isu ini bukan tanggungjawab KKM sahaja, ia menuntut pendekatan ‘whole-of-nation’ yang membabitkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga akan mengetengahkan isu mobiliti tenaga kerja kesihatan dan tanggungjawab serantau dalam mesyuarat bersama negara-negara jiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd