hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kejadian banjir kilat di ibu negara baru-baru ini berpunca daripada curahan hujan luar biasa tinggi yang mencecah 116 milimeter dalam tempoh sejam iaitu jauh melebihi kadar purata biasa sekitar 80 milimeter sejam.
Peningkatan mendadak itu memerlukan tindakan mitigasi berterusan dan persediaan rapi menjelang musim monsun timur laut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, situasi cuaca ekstrem yang berlaku bukan lagi sesuatu yang luar jangka malah boleh diramal susulan perubahan pola monsun.
“Biasanya pada waktu-waktu tertentu kita memang jangka hujan lebat, terutama ketika monsun tropika dan monsun timur laut. Memang akan ada kemungkinan banjir.
“Kalau ikut kadar biasa, hujan sekitar 80 milimeter sejam. Tetapi tempoh hari ia mencecah 116.
“Kita jangka selepas ini mungkin boleh meningkat hingga 120 milimeter sejam. Itu sebabnya risiko banjir memang boleh berlaku,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan sudah membuat persediaan lebih awal dengan mengenal pasti 15 kawasan titik panas banjir di Kuala Lumpur. Menurutnya, langkah awal termasuk pemasangan siren amaran paras air bagi memberi notifikasi segera kepada penduduk.
“Kita sudah letakkan siren amaran. Apabila paras air capai tahap tertentu, amaran akan diberi supaya penduduk boleh ambil tindakan segera.
“Selain itu, pemantauan berterusan dilakukan bersama agensi teknikal seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan MetMalaysia untuk pantau cuaca, dengan JPS untuk lihat situasi sungai dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) pula membantu memastikan kerja pembuangan kelodak di kawasan titik panas dilaksanakan.
Katanya, kerja penyelenggaraan sungai dan saliran termasuk pembuangan kelodak adalah komponen penting dalam mengurangkan risiko banjir kilat, khususnya di kawasan bandar padat seperti Kuala Lumpur.
“PETRA melalui JPS menjalankan kerja pembuangan kelodak di kawasan yang dikenal pasti. Ini kerja yang berterusan untuk pastikan aliran air lebih lancar semasa hujan lebat.
“Sebagai langkah persediaan, sejumlah 370 petugas DBKL kini berada dalam mod bersedia untuk menghadapi sebarang potensi banjir atau bencana berkaitan cuaca,” katanya.
Katanya, unjuran kadar hujan sehingga 120 milimeter sejam menunjukkan Kuala Lumpur berdepan risiko banjir kilat yang semakin meningkat, meskipun kerja mitigasi dilakukan secara agresif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




