KL City bakal gugat JDT dan Selangor musim depan

KL City bakal gugat JDT dan Selangor musim depan

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Amaran buat pasukan gergasi Liga Super apabila Kuala Lumpur City (KL City) FC akan melakukan revolusi dengan membawa masuk muka baharu bagi memperkuatkan skuad The City Boys.

Malah, dijangka sekurang-kurangnya lima pemain skuad kebangsaan akan dibawa masuk selain turut mempertimbangkan untuk mengikat tonggak pasukan Indonesia atau Thailand bagi musim 2025/2026 kelak.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa pemain berpengalaman yang dilihat mampu membantu KL City meraih keputusan positif dalam saingan Liga Super.

Syed Yazid berkata, barisan kejurulatihan juga kemungkinan terdapat perubahan namun segalanya akan ditentukan sebaik selesai mesyuarat exco dalam tempoh terdekat ini.

“Musim depan akan berubah wajah terutamanya membabitkan barisan pemain KL City. Kita mugkin akan bawa empat atau lima pemain kebangsaan untuk menyertai pasukan.

“Pemain import pula, kita akan bawa kapten Timor Leste, Joao Pedro dengan beberapa awang import lain juga dalam pertimbangan pasukan.

“Kita mahu bawa KL City meraih pelbagai kejayaan pada musim depan dan mampu bersaing dengan pasukan gergasi lain,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, musim 2024/2025 menyaksikan KL City yang dipimpin Miroslav Kuljanac mengakhiri saingan Liga Super di tempat keenam menerusi 31 mata.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad akan menggantikan Kuljanac pada musim depan, Syed Yazid berkata, perkara itu akan ditentukan pada mesyuarat Exco dalam tempoh terdekat ini.

“Saya tidak boleh mengesahkan perkara itu. Segalanya akan ditentukan membabitkan pemain dan barisan kejurulatihan selepas mesyuarat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top