KL City buat TFC 'terduduk'

KL City buat TFC 'terduduk'

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) berdepan ‘sekatan jalan raya’ dalam misi memburu kedudukan naib juara apabila tewas 1-0 di tangan KL City FC pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kekal di tangga ketiga dengan 37 mata, mereka kini ketinggalan satu mata di belakang Kedah Darul Aman (KDA), namun kelebihan besar dipegang skuad Lang Merah memandangkan mereka masih memiliki baki dua perlawanan dalam tangan.

KL City pula terus cemerlang apabila mengekalkan rentak dengan tiga kemenangan berturut-turut sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan dan di laman sendiri.

Dalam 15 minit pertama menyaksikan KL City lebih garang apabila beberapa kali mencemaskan benteng pertahanan TFC khususnya menerusi situasi sepakan sudut, namun belum cukup untuk membuahkan hasil.

Selepas beberapa kali mencuba, KL City akhirnya di depan selepas bola muntah yang ditepis Mohd Suhaimi Hussin susulan percubaan jarak jauh J Partiban disudahkan Paulo Josue pada minit ke-28.

Beberapa percubaan dihasilkan TFC pada babak kedua, namun sekurang-kurangnya tiga percubaan berbahaya diselamatkan penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza untuk mengecewakan lawan yang terpaksa pulang dengan tangan kosong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top