KL City didenda RM50,000, NSFC menang percuma 3-0

KUALA Lumpur (KL) City FC dikenakan denda RM50,000 selain diperintahkan membayar ganti rugi serta kos berkaitan selepas gagal menurunkan pasukan dalam aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), Sabtu lalu.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan sebentar tadi turut memutuskan NSFC diberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata susulan pembatalan perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL pada Isnin selepas badan berkenaan meneliti dokumen, laporan serta maklumat daripada pihak berkaitan, termasuk laporan perubatan hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos yang dikemukakan KL City.

MFL mendapati kegagalan KL City menyediakan skuad lengkap berpunca daripada kelewatan menguruskan pendaftaran pemain, selepas semakan sistem MyPAS pada hari perlawanan mendapati kelab itu hanya mempunyai 12 pemain berdaftar, terdiri daripada 11 pemain dan seorang penjaga gol.

“Sehubungan itu, Lumpur City FC jelas melanggar Artikel 4.5.7 (i) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2026-2027: Bagi semua kelab Liga Malaysia hendaklah mendaftar maksimum 20 dan minimum 15 pemain termasuk minimum dua penjaga gol dalam ‘Team List’ serta Pekeliling Liga Malaysia berkenaan syarat-syarat pendaftaran pegawai dan pemain Liga Super 2026-2027 yang diedarkan kepada semua kelab pada 29 Jun 2026: Semua kelab hendaklah mendaftarkan minimum 20 orang pemain termasuk tiga penjaga gol pada atau sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia 2026 – 2027.

“Selain itu Kuala Lumpur City FC juga tidak mematuhi Artikel 3.1.3 Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP): Kelab hendaklah melengkapkan Team Selection List dengan 20 pemain iaitu, pemain kesebelasan utama, pemain simpanan termasuk ketua kelab serta 10 orang pegawai di bangku simpanan.

“Unit Pelesenan Kelab MFL dan First Instance Body (FIB) sudah berulang kali mengeluarkan peringatan kepada Kuala Lumpur City FC untuk menyelesaikan denda yang telah dikenakan oleh FIFA sehingga mendapat Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa.

“Namun Kuala Lumpur City FC dilihat gagal bertindak proaktif dalam menyelesaikan kes berkenaan yang akhirnya memberi kesan kepada urusan pendaftaran pemain kelab itu musim ini.

“Justeru Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan bahawa Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan 3-0 serta mendapat tiga mata di atas kegagalan Kuala Lumpur City FC yang tidak turun beraksi pada perlawanan pertama Liga Super,” menurut kenyataan MFL.

Perlawanan itu pada asalnya dibatalkan selepas KL City mengemukakan permohonan kepada MFL pada 12.40 tengah hari Sabtu berhubung keadaan kesihatan 13 pemain dan dua pegawai yang dilaporkan dijangkiti influenza.

MFL kemudian memaklumkan kepada semua kelab menerusi pekeliling pada hari sama bahawa perlawanan berkenaan tidak dapat dilangsungkan.

NSFC selepas itu mengemukakan surat bantahan kepada MFL pada Sabtu dan memohon semakan menyeluruh dibuat sebelum keputusan ditetapkan berdasarkan peraturan pertandingan Liga Malaysia.

Scroll to Top