KL City menang tapi Shahidan merajuk?

KUALA LUMPUR – Hantaran terbaharu yang dimuat naik menerusi Facebook peribadi milik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menggambarkan beliau seakan terasa hati dengan layanan yang diterima ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Walaupun hantaran yang dikongsi oleh Ahli Parlimen Arau itu ringkas namun menunjukkan makna yang cukup mendalam.

“Semalam saya hadir perlawanan bola sepak KL City lawan JDT. Juara, tahniah. Pengacara tidak jemput saya turun ke padang, pengacara tidak sebut nama saya… Tidak mengapa,” ujarnya.

Bagaimanapun, menerusi hantaran berbeza, Shahidan berkata, para pemain KL City FC bakal menerima habuan masing-masing dalam satu majlis yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Pemain KL City akan dapat hadiah nanti. Saya akan jemput mereka tidak lama lagi. Semalam saya hadir dengan penyokong-penyokong dari seluruh negara. Saya bawa,” katanya.

Terdahulu, kemenangan pasukan KL City FC meraikan piala malam tadi turut disertai oleh presidennya, Tan Sri Annuar Musa bersama Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad. – MalaysiaGazette