firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur “KL City (Kuala Lumpur City FC) memang bahaya dari babak pertama”.
Demikian pandangan pengendali Melaka FC, E Elavarasan selepas pasukannya tumbang 2-1 di tangan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.
Menurut Elavarasan, skuad The City Boys dilihat lebih stabil sejak babak pertama dengan memanfaatkan pengalaman dimiliki barisan pemain mereka sehingga berjaya memberi tekanan kepada pasukannya.
“Secara keseluruhan KL City sejak babak pertama dilihat cukup bahaya dan steady, sudah tentu dengan pemain yang berpengalaman.
“Untuk Melaka di babak pertama mungkin tak banyak gerakan menyerang, tapi kita hanya ketinggalan 1-0 sahaja. Jika ikutkan mungkin boleh kena banyak,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan perubahan taktikal yang dilakukan pada babak kedua berjaya memberi impak positif apabila Melaka FC berjaya mencari gol penyamaan.
“Apabila kita buat perubahan, banyak perubahan berlaku. Perubahan itu membolehkan kita menjaringkan gol penyamaan.
“Tapi minit terakhir fokus itu penting. Perlawanan macam ini perlu ada pengalaman, sedikit kelekaan menyebabkan kita terlepas gol,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Melaka FC terpaksa pulang hampa selepas gagal mempertahankan keputusan seri yang hampir diperoleh sebelum jaringan lewat KL City memastikan tiga mata penuh buat tuan rumah.
Tuan rumah terlebih dulu mendahului menerusi Kamal Azizi di babak pertama, sebelum pelawat menyamakan kedudukan hasil ledakan Pak Kwang-il.
Bagaimanapun, menuju minit akhir permainan sebelum ditamatkan, Safawi Rasid muncul wira apabila meledak kemenangan buat KL City untuk ceria meraih tiga mata penuh di depan penyokong sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




