harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa kawasan tumpuan sekitar ibu negara dilihat sepi hari ini malah trafik di kawasan yang lazimnya sesak sepanjang masa juga bergerak lancar setakat 11.30 pagi tadi.
Tinjauan Harian Metro bermula 8 pagi tadi mendapati sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Bukit Bintang tidak begitu sibuk seperti hari-hari biasa.
Pada masa sama, penurunan trafik drastik dilihat antaranya di Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Sultan Iskandar (Mahameru), Jalan Tuanku Abdul Rahman yang lazimnya sibuk hampir sepanjang masa.
Kebanyakan pasar raya, pusat beli-belah serta kawasan tumpuan pelancong dilihat terus beroperasi walaupun sebahagian besar pejabat terutama berhampiran pusat beli-belah Suria KLCC melaksanakan kerja dari rumah susulan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Pelancong warga asing kelihatan bersiar-siar di sekitar ibu negara malah kumpulan jurugambar jalanan juga dilihat terus berlegar-legar menawarkan perkhidmatan mereka di berhampiran Suria KLCC.
Walaupun keadaan di ibu negara tenang ketika ini, kelibat pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keselamatan dapat dilihat hampir di setiap jalan serta lorong di sini.
Pada masa sama, tahap kawalan keselamatan di hotel penginapan delegasi dan pemimpin negara asing juga nampaknya dipertingkatkan malah kelihatan berbagai bentuk kenderaan PDRM di sekitar ibu negara.
Terdahulu Harian Metro melaporkan PDRM menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada memasuki ibu negara sekiranya tiada urusan mustahak.
Ia susulan penutupan dan lencongan jalan secara berkala yang diadakan di beberapa laluan sekitar ibu negara bagi memudahkan pergerakan delegasi asing dan petugas keselamatan.
PDRM akan melaksanakan lencongan dan penyuraian trafik secara berperingkat bermula 8 pagi sehingga 7.45 malam semalam sempena raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilapor berkata, raptai akan diteruskan sehingga hari ini langkah penting bagi memastikan pergerakan delegasi sebenar kelak berjalan lancar dan tersusun.
- Pemimpin dunia tiba untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 diketuai Presiden Brazil
- Ada apa dengan pin emas perak gangsa?
- Malaysia tuan rumah berwibawa
- Peniaga bersedia dan tetap berniaga walaupun banyak jalan ditutup
© New Straits Times Press (M) Bhd




