am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Trend fesyen Aidilfitri tahun ini kembali menonjolkan elemen klasik yang diberi sentuhan moden, sekali gus menjadikan gaya tradisional seperti kebaya dan baju kurung tetap relevan dalam kalangan penggemar fesyen.
Pereka fesyen dan pemilik butik, Tiara Awatif Binti Rahim, 35, berkata, koleksi raya ‘ready-to-wear’ jenamanya mengekalkan identiti klasik, tetapi diberi sentuhan segar yang lebih moden.
“Rekaan tahun ini mengambil inspirasi daripada permainan tradisi yang membangkitkan nostalgia zaman dulu.
“Warna, tekstur dan perincian setiap helaian direka untuk menonjolkan keindahan klasik dengan gaya kontemporari,” katanya.
Menurut Tiara, warna ceria seperti merah jambu, magenta dan teal antara paling diminati pelanggan sehingga cepat habis, manakala kombinasi ‘Strawberry Matcha’ gabungan merah jambu dan hijau dengan sulaman halus menjadi trend paling dominan bagi Aidilfitri 2026.
Potongan tradisional seperti kebaya dan baju kurung kekal menjadi pilihan utama, tetapi gabungan elemen klasik dan moden atau gaya fusion turut mendapat tempat di hati pelanggan. Potongan longgar lebih digemari kerana selesa dan mudah digayakan untuk pelbagai majlis.
Sementara itu, penggemar fesyen dan pempengaruh, Sitinur Sabrina Mohammad, 27, berkata, aksesori kini menjadi elemen utama menaikkan gaya.
“Organza shawl dan lace hijab semakin popular, malah brooch atau kerongsang klasik kembali ‘trending’. Kasut manik pointy dan kitten heels yang pernah popular dulu juga mula muncul semula di media sosial,” katanya.
Menurut Sabrina, trend semasa turut dipengaruhi media sosial, pempengaruh serta budaya pop seperti Bridgerton yang menampilkan elemen romantik dan feminin.
“Trend boleh dijadikan inspirasi, tetapi yang paling penting ialah pilih pakaian selesa dan sesuai dengan gaya sendiri. Bila selesa, kita boleh betul-betul nikmati kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga dan orang tersayang,” katanya.
Menurut Tiara lagi, penggunaan fabrik semula jadi seperti kapas dan kapas linen juga menjadi keutamaan kerana selesa dan sesuai dengan cuaca Malaysia.
“Rekaan kami ‘versatile’, mudah digayakan dan setiap sulaman direka khas dihasilkan di Malaysia,” katanya.
Dari perspektif peminat, kombinasi elemen klasik dan moden memberi lebih ruang kreativiti. Sabrina berkata, walaupun mengikuti trend, gaya peribadi tetap penting.
“Boleh ambil inspirasi daripada trend, tetapi jangan lupa selesa dan yakin dengan apa yang dipakai. Itulah yang buat Aidilfitri lebih meriah dan menyeronokkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




