sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) terus komited dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan kembali enam mata yang dipotong oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Ogos lalu.
Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar berkata, pihaknya menerima maklum balas dari pihak MFL berhubung rayuan itu namun pada masa sama, beliau juga berharap badan induk itu boleh menjelaskan secara terperinci berkaitan surat yang dihantar pada 23 Oktober lalu.
“Kuala Lumpur City Football Club menerima baik kenyataan media dari MFL pada Jumaat, 25 Oktober 2024. Bagaimanapun kami masih menanti surat kami bertarikh 23 Oktober 2024. Sementara itu, pihak kami sedang mengemas kini pembayaran (tunggakan gaji).
“Pihak Kuala Lumpur City Football Club mengharapkan proses rayuan ini berjalan dengan baik dan enam mata dapat diperolehi kembali,” katanya menerusi kenyataan rasmi yang dikongsi di media sosial milik kelab itu.
Terdahulu, MFL memaklumkan bahawa surat yang dihantar pada 12 Ogos 2024 yang bertajuk ‘Notis Dengan Niat Membuat Rayuan Keputusan FIB ( First Instance Body)’ adalah jelas menunjukkan bahawa surat itu bukanlah surat rayuan secara rasmi.
Sebaliknya ia hanya memaklumkan hasrat mereka untuk membuat rayuan serta hasrat mengemukakan pelan dan cadangan terperinci selepas pemilihan presiden baharu KLFA.
“MFL kemudiannya menerima surat baharu pada 24 Oktober 2024 bertarikh 23 Oktober bertajuk ‘Rayuan Keputusan Siasatan Jawatankuasa FIB Terhadap Kuala Lumpur City FC’. Surat ini menyatakan rayuan susulan surat mereka sebelum ini dan turut menyatakan bahawa mereka ingin membuat rayuan.
“Bagi tujuan penjelasan, asas rayuan biasanya disertakan dengan dokumen sokongan daripada agensi masing-masing sebagai bukti, untuk membuktikan pelan ke hadapan dan perlu menjelaskan keputusan awal itu sama ada ianya tersasar, tersilap atau berat selain perlu menyatakan mengapa rayuan tersebut adalah wajar,” kata MFL.
Selain tu, MFL akan menghantar Unit Perlesenan MFL ke KL City FC untuk membantu mereka dalam mengemukakan rayuan sebenar bagi dihantar kepada FIB untuk pertimbangan keputusan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




