KLIA jalankan projek rintis biodiesel sawit B20

KLIA jalankan projek rintis biodiesel sawit B20

zaky@bh.com.my

Sepang: Malaysia memperkukuh usaha ke arah tenaga boleh diperbaharui apabila Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menjalin kerjasama strategik untuk melaksanakan projek rintis penggunaan biodiesel sawit B20 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Projek rintis yang bermula sejak Februari 2025 itu menyasarkan penggunaan bahan api B20 bagi kenderaan dan jentera perkhidmatan darat atau Ground Service Equipment (GSE) di KLIA, hasil kerjasama antara MPOB dengan Petronas Dagangan Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Syarikat Teras Kembang Sdn Bhd.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, gabungan kepakaran dan fungsi ketiga-tiga syarikat selaku pembekal biodiesel, pengurus operasi lapangan terbang dan pengendali stesen minyak melengkapkan keseluruhan rantaian bekalan bagi pelaksanaan biobahan api di KLIA.

“Majlis peluncuran penggunaan B20 bukan sekadar simbolik permulaan sebuah projek, tetapi turut mencerminkan komitmen kita dalam mencapai pelepasan karbon sifar melalui pembangunan industri penerbangan yang mampan.

“Ini juga menjadi detik bersejarah kerana buat julung kalinya, biodiesel sawit B20 diperkenalkan untuk sektor perkhidmatan darat atau sektor industri di lapangan terbang di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Projek Rintis Penggunaan Biodiesel Sawit B20 bagi GSE di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha; Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani; dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani.

Sehingga kini, lima syarikat pengendali GSE telah menyatakan minat untuk menyertai projek ini dengan unjuran penggunaan sekitar 40,000 liter biodiesel B20 sebulan.

Langkah itu dijangka mampu mengurangkan sehingga 13 peratus pelepasan gas rumah kaca (GHG), bersamaan dengan pengurangan 105 tan karbon dioksida setara (CO2e) setahun jika dibandingkan dengan penggunaan diesel konvensional.

Mengulas lanjut, Johari berkata, di peringkat KPK, Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) dirangka sebagai panduan strategik bagi semua komoditi utama negara.

Katanya, antara indikator yang digariskan ialah penggunaan biodiesel sawit B30 dalam sektor pengangkutan menjelang 2030.

“Walaupun pelaksanaannya berdepan cabaran tertentu, pihak kementerian komited untuk memperluaskan penggunaan biodiesel demi kelestarian alam sekitar serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan industri,” katanya.

Menurut KPK, Program Biodiesel Negara dilaksanakan secara komersial sejak 2011, bermula dengan Program B5 dan seterusnya B7 secara berfasa dalam sektor pengangkutan.

Kemudian, pelaksanaan Program B10 di sektor pengangkutan dilaksanakan secara mandatori bermula 1 Februari 2019 dan Program B7 di sektor industri pada 1 Julai 2019.

Program B20 bagi sektor pengangkutan pula bermula pada Januari 2020 di beberapa lokasi seperti Langkawi, Labuan dan Sarawak (kecuali Bintulu).

Beliau menjelaskan, industri sawit adalah antara tonggak utama dalam pembangunan ekonomi negara apabila menyumbang kira-kira tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan RM114 bilion nilai eksport dengan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) mencecah 19.3 juta tan tahun lalu.

“Sumbangan ini bukan sahaja dalam bentuk hasil ekonomi, malah turut memberi nilai tambah dari segi tenaga alternatif yang mampan dan boleh diperbaharui,” katanya.

Penggunaan biodiesel ini juga seiring dengan matlamat Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mencapai pelepasan karbon neutral bagi sektor penerbangan antarabangsa menjelang tahun 2050, berasaskan tahap pelepasan pada 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top