hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pihak Berkuasa Tatatertib Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung kejadian pukul membabitkan seorang klien ketika menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Pahang, tahun lalu.
EAIC berkata, pihaknya menerima aduan terhadap pegawai AADK berhubung kejadian pukul dan kecederaan yang dialami oleh seorang klien ketika menjalani pemulihan di pusat berkenaan.
Menurutnya, siasatan dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Hasil siasatan mendapati wujud keterangan dan bukti yang menjurus kepada kejadian pukul berkenaan berlaku sehingga menyebabkan kecederaan terjadi ke atas klien yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat terbabit.
“Ia turut mendapati wujud kemungkinan unsur penyembunyian oleh PUSPEN terhadap kejadian itu kerana pemakluman berkenaan dengan kecederaan oleh klien terbabit dibuat dalam tempoh masa yang tidak munasabah kepada pihak Ibu Pejabat AADK,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kenyataan itu berkata, justeru pihaknya memutuskan untuk merujuk hasil siasatan membabitkan hasil siasatan pertama kepada AGC.
Katanya, ia selaras peruntukan perenggan 30(1)(c) Akta 700 dengan cadangan untuk siasatan jenayah menurut seksyen 324 Kanun Keseksaan [Akta 574] atau mana-mana seksyen berkaitan dibuat ke atas suspek yang terbabit.
“Kami juga merujuk hasil siasatan kedua kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK untuk syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit mengikut Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan yang sama.
“Selain itu, mengesyorkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam kawasan PUSPEN bagi memastikan keselamatan klien yang menjalani pemulihan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd