suliati@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Program berhenti merokok kebangsaan di Klinik Berhenti Merokok (KBM) mencatat pencapaian membanggakan apabila 4,916 atau 56.8 peratus peserta berjaya berhenti merokok setakat Disember 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sejak Disember 2024, seramai 38,467 perokok mendaftar untuk berhenti merokok di 857 KBM di Klinik Kesihatan seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, data menunjukkan seramai 8,659 perokok memberi komitmen untuk berhenti merokok dengan menetapkan tarikh mereka berhenti merokok.
“Sehingga kini 4,916 perokok disahkan bebas rokok. Kejayaan ini juga hasil kombinasi kaunseling intensif dan akses kepada Terapi Penggantian Nikotin (NRT) kini boleh dibeli terus di kaunter,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Live, Laugh, Lungs sempena sambutan Hari Paru-Paru Sedunia Peringkat Kebangsaan disini, baru-baru ini.
Dzulkefly berkata paru-paru adalah organ penting yang sering terabai penjagaannya, sedangkan beban penyakit berkaitan dengan sistem pernafasan meliputi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit di negara ini semakin membimbangkan.
Katanya ini termasuk kanser paru – paru, Chronic Obstructive Pulmonary
Disease (COPD), asma dan jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia,
tuberkulosis, Covid-19 dan influenza.
Statistik menunjukkan penyakit paru-paru terus mencatatkan angka tinggi termasuk 26,183 kes baharu tuberkulosis pada tahun lalu, selain hampir setengah juta kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun menghidap asma.
“Lebih 1.4 juta orang dewasa di Malaysia turut didiagnosis dengan asma, manakala kanser paru-paru kini menjadi kanser kedua paling utama dalam kalangan lelaki dan ketiga bagi wanita,” katanya.
Hari Paru-Paru Sedunia disambut setiap September sebagai usaha global meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan paru-paru melalui pencegahan, saringan serta akses rawatan yang saksama.
Tahun ini, ia bertemakan “Healthy Lungs, Healthy Lives”, seiring resolusi kesihatan paru-paru yang dibawa Malaysia dan diluluskan pada Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) 2025.
Kempen yang berlangsung selama lima hari itu dianjurkan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Kenvue Malaysia dan Watsons Malaysia, serta disokong Kementerian Kesihatan (KKM).
Antara pengisian sepanjang program termasuklah Zon Kesihatan Paru-Paru yang menawarkan saringan percuma menggunakan X-Ray dada berteknologi AI dan perkhidmatan berhenti merokok.
Juga Zon Pendidikan Interaktif dengan aktiviti keluarga seperti Knock Out Smoking, Laughing Machine dan dinding ikrar awam.
Kali ini, kempen ini juga turut menekanan kepentingan Terapi Penggantian Nikotin (NRT) sebagai kaedah berkesan membantu perokok berhenti merokok.
Malah, laporan oleh Social and Economic Research Initiative (SERI) 2025 menunjukkan 77 peratus perokok bersedia mencuba NRT jika ia mudah didapati di kaunter tanpa preskripsi.
Selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperluaskan akses kepada
bantuan berhenti merokok, Watsons Malaysia turut meningkatkan ketersediaan
produk NRT di rangkaian kedai Watsons seluruh negara menjelang akhir Oktober 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd