Klinik kecantikan tanpa kelulusan diserbu, rampasan lebih RM3.5 juta

Klinik kecantikan tanpa kelulusan diserbu, rampasan lebih RM3.5 juta

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan sebuah premis klinik kecantikan menjalankan kegiatan rawatan estetik dan prosedur perubatan tanpa kelulusan serta pendaftaran sah mengundang padah apabila diserbu hari ini dengan rampasan lebih RM3.5 juta.

Operasi sekitar jam 1.15 tengah hari itu dilakukan Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman bersama Bahagian Perkhidmatan Farmasi serta Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Jabatan Kesihatan Negeri Johor di premis di Jalan Stulang Baru, Taman Suria, Johor Bahru, Johor.

Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, ketika serbuan seorang lelaki warga tempatan dan wanita warga Indonesia berusia 22 dan 35 tahun berada di dalam premis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti berkaitan rawatan estetik dan prosedur perubatan tanpa kelulusan serta pendaftaran sah.

“Pelbagai peralatan perubatan, mesin rawatan estetik, bahan suntikan serta ubat-ubatan dijumpai dan disyaki berkaitan kesalahan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

“Dua individu diambil tindakan sebagai Orang Yang Disyaki. Antara barang yang dirampas terdiri ubat-ubatan dan produk farmasi seperti Sodium Chloride pelbagai isipadu, Clindamycin, Voltaren, Medrol, Lidocaine, Hyaluronic Acid, pelbagai produk suntikan dermal filler, krim pemutih serta peralatan suntikan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Beliau berkata, selain itu, turut dirampas pelbagai mesin dan peralatan rawatan termasuk mesin Plasma, mesin Hydro Dermabrasion Facial, mesin Dental Treatment Unit, mesin Sterilizer, Electro Surgical Machine, Oxygen Tank, Operation Light serta pelbagai peralatan pembedahan dan estetik lain.

“Kesemua rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan CKAPS, Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk tindakan serta siasatan lanjut pada hari yang sama.

“Anggaran nilai rampasan bagi mesin dan peralatan adalah sebanyak RM3,020,500 manakala nilai ubat-ubatan dan produk farmasi dianggarkan berjumlah RM541,181.50, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM3,561,681.50,” katanya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), Seksyen 3(C) Pusat Jagaan Ambulatori Swasta serta Akta Racun 1952 melibatkan produk berdaftar mengandungi racun terkawal, produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.

“Soal siasat serta rakaman percakapan diambil bagi membantu siasatan lanjut, khususnya berkaitan individu atau kumpulan yang dipercayai menyediakan rawatan estetik tanpa didaftarkan di bawah Akta 586,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top