harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Klinik kecantikan tidak berlesen didalangi ‘doktor’ tidak bertauliah dari China digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan Ops Dadan di Bukit Bintang, di sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 15 warga asing ditahan dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai daripada JIM Kuala Lumpur itu.
Menurutnya, serbuan dijalankan susulan risikan pihaknya berikutan aduan awam berhubung kegiatan warga asing terbabit menjalankan prosedur kecantikan tanpa kebenaran daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Klinik ini menawarkan perkhidmatan rawatan muka dan kecantikan badan dengan menggunakan khidmat warga asing yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk menjalankan prosedur kecantikan.
“Klinik ini dipercayai dimiliki oleh seorang warga China yang turut menyalahgunakan pas dan beroperasi sejak setahun lalu serta sudah mengaut untung ratusan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seramai 18 individu diperiksa dan 15 daripada mereka ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita warga China serta dua wanita Myanmar.
Zakaria berkata, tiga lagi individu diperiksa adalah pekerja tempatan dan diberikan notis untuk hadir ke pejabat JIM Kuala Lumpur pada tarikh ditetapkan untuk membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua mereka dipercayai menjalankan rawatan kecantikan tanpa kebenaran malah tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah.
“Pasukan operasi menyita beberapa pakaian seragam, telefon bimbit, komputer riba, kamera litar tertutup, lesen premis perniagaan dan lain-lain dokumen berkaitan syarikat.
“Kesemua warga asing ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,”katanya.
Zakaria berkata, tindakan tegas ini akan diteruskan bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara khususnya membabitkan warga asing.
Pada masa sama beliau meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan menerusi saluran aduan rasmi JIM supaya tindakan dapat diambil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




