am@hmetro.com.my
Jerantut: Klinik Kesihatan Kuala Tahan, di sini, terpaksa ditutup kerana mengalami kerosakan struktur utama disebabkan pergerakan tanah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Dr Saiful Azlan Sharif berkata, faktor itu menyebabkan bangunan klinik terbabit tidak selamat diduduki.
“Bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat tidak terjejas, operasi klinik dipindahkan ke lokasi sementara di Dewan Penghulu Reja, Kampung Padang, di sini, mulai semalam.
“Klinik Kesihatan Kuala Tahan mula beroperasi pada 1 Jun 1997 dan pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati, ia mengalami kerosakan struktur utama,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, Klinik Kesihatan Kuala Tahan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 6,000 penduduk setempat dengan purata kedatangan harian pesakit antara 50 dan 60 orang.
Dr Saiful Azlan berkata, semua 24 petugas klinik itu akan meneruskan tugas mereka di lokasi sementara.
“Sebagai perancangan jangka pendek, permohonan peruntukan untuk membaiki struktur sedia ada akan dilakukan mengikut kesesuaian dan penilaian dibuat Bahagian Forensik Struktur JKR.
“Pada 2024, projek pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tahan dengan kemudahan X-ray di tapak baharu sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK12).
“Kerja pembinaan bangunan baharu itu dijangka bermula tahun depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




