Klinik lombong garam Armenia jadi harapan pesakit asma

Klinik lombong garam Armenia jadi harapan pesakit asma

BAGI kebanyakan orang, menghabiskan masa berjam-jam jauh di bawah tanah dalam suasana gelap mungkin bukan pilihan untuk meningkatkan kesihatan.

Namun, setiap pagi, sekumpulan pesakit asma di Armenia turun kira-kira 250 meter ke dalam sebuah lombong garam yang masih beroperasi di Armenia, di mana mereka menghabiskan enam jam di ruang bawah tanah yang diukir daripada batu garam dengan harapan udara di situ dapat membantu mereka bernafas dengan lebih baik.

“Saya sudah mencuba pelbagai rawatan dan ini satu-satunya yang benar-benar berkesan. Sebelum mencubanya saya fikir ia karut, tetapi kini saya benar-benar percaya. Rawatan ini telah menyelamatkan saya ,” kata pesakit asma, Mikayel Torosian.

Sejak dibuka pada 1987, pesakit dari dalam dan luar Armenia mengunjungi lombong era Soviet itu untuk menjalani rawatan alternatif dikenali sebagai speleoterapi, iaitu kaedah yang berasaskan kepercayaan udara lombong yang tepu dengan garam dan bebas alergen mampu mengurangkan penyakit pernafasan.

Bagaimanapun, klinik berkenaan kini berdepan ancaman penutupan selepas kerajaan Armenia menarik balik pembiayaan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai peranan pemerintah dalam menyokong perubatan alternatif.

Klinik lombong garam Armenia jadi harapan pesakit asma

Perjalanan pesakit bermula dengan menaiki lif industri yang membawa mereka turun jauh ke bawah sebuah kawasan perumahan di pinggir Yerevan. Di dasar lombong itu, rangkaian terowong merenta

si batu garam membentuk ruang rawatan yang luas.

Sekali pandang, kawasan bawah tanah itu lebih menyerupai kubu era Perang Dingin berbanding sebuah pusat perubatan.

Di sebalik tirai, pesakit berehat di atas katil sempit, manakala yang lain bermain biliard, berjalan, melakukan senaman pernafasan atau sekadar duduk dalam suasana sunyi di sekitar kemudahan perubatan paling unik di dunia itu.

“Ia mungkin kelihatan pelik, tetapi selepas beberapa hari orang ramai mula menikmati ketenangan di sini,” kata doktor, Anush Voskanyan yang berkhidmat di klinik itu sejak 1989.

 

 

 

 

Menurut Voskanyan, idea menubuhkan klinik tersebut tercetus selepas doktor mendapati pekerja lombong garam mengalami kadar penyakit pernafasan yang jauh lebih rendah walaupun bekerja sepanjang hayat di bawah tanah.

Beliau berkata, penyelidik kemudian mengkaji iklim mikro lombong berkenaan sebelum beberapa klinik bawah tanah khusus diwujudkan di negara-negara bekas blok Soviet.

Voskanyan percaya manfaat kesihatan itu berpunca daripada gabungan beberapa faktor termasuk udara yang kaya dengan garam, suhu tetap sekitar 19 darjah Celsius sepanjang tahun serta persekitaran yang bebas daripada alergen, pencemaran, bunyi bising dan radiasi.

“Ini adalah iklim yang sempurna untuk didiami. Di sini, anda seolah-olah tidak menua,” katanya.

Pesakit lazimnya menghabiskan enam jam sehari di bawah tanah sepanjang tempoh rawatan selama tiga minggu.

Doktor berkata, minggu pertama memberi peluang kepada tubuh menyesuaikan diri dengan persekitaran unik lombong sebelum manfaat rawatan mula dirasai secara beransur-ansur.

Pada kemuncak operasinya, ribuan pesakit mendapatkan rawatan di Lombong Avan setiap tahun, dengan ramai menerima rawatan secara percuma menerusi sistem penjagaan kesihatan Armenia.

“Dulu kami menerima sehingga 60 pesakit pada satu-satu masa. Hari ini mungkin hanya tinggal lima orang,” kata Voskanyan sambil memandang ruang rawatan yang kini hampir kosong.

Nasib klinik itu berubah pada 2019 apabila kerajaan Armenia menghentikan pembiayaan selepas berpendapat speleoterapi tidak mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk terus dibiayai menggunakan dana awam.

Pesakit yang sebelum ini menerima rawatan secara percuma kini perlu membayar kira-kira 20 pound (RM109) bagi setiap sesi rawatan.
Keputusan itu dibuat ketika Armenia melaksanakan pembaharuan sistem penjagaan kesihatan dan bersiap sedia memperkenalkan skim insurans kesihatan sejagat, yang memerlukan kerajaan menentukan jenis rawatan yang layak menerima pembiayaan.

“Kami kini berada di ambang penutupan. Kami masih beroperasi, tetapi dalam keadaan yang sangat sukar dan boleh ditutup pada bila-bila masa,” kata Voskanyan.

Beliau bagaimana pun menegaskan rawatan itu berkesan, terutama bagi kanak-kanak yang menghidap asma dan alahan.

“Malah ada pesakit yang tidak lagi mengalami serangan asma selepas hanya menjalani satu kitaran rawatan,” katanya.

Walaupun speleoterapi diamalkan sejak beberapa dekad di Eropah Timur dan bekas negara Kesatuan Soviet, hanya sedikit kajian berskala besar dijalankan dan kebanyakan klinik seumpamanya sudah ditutup.

Ramai pakar pernafasan berpendapat rawatan itu hanya sesuai dijadikan terapi pelengkap yang membantu mengurangkan simptom dan tidak boleh menggantikan rawatan perubatan konvensional.

Namun, bagi penyokongnya, kekurangan bukti saintifik yang kukuh tidak menafikan pengalaman positif pesakit selama puluhan tahun.

“Kalau ia tidak berkesan, saya tentu tidak akan datang semula,” kata seorang pesakit, Alvart Alihanyan yang berulang kali mendapatkan rawatan di klinik itu sejak 10 tahun lalu dari Russia.

Buat masa ini, setiap pagi lif itu masih terus membawa pesakit turun jauh ke bawah Yerevan.

Walau apa pun perdebatan mengenai keberkesanan perubatannya, lombong itu terus menawarkan sesuatu yang semakin sukar ditemui di dunia moden, suasana sunyi sepenuhnya, tanpa capaian

WiFi dan peluang seketika untuk melarikan diri daripada kesibukan dunia di permukaan.-UTUSAN

Scroll to Top