Klinik NSL 2026 buka laluan bakat muda wanita ke pentas liga

Klinik NSL 2026 buka laluan bakat muda wanita ke pentas liga

PROGRAM pembangunan akar umbi bola jaring negara terus diperkukuh apabila penganjuran Klinik NSL 2026 kembali memberi tumpuan kepada usaha mencungkil bakat muda wanita yang berpotensi menyinar di pentas lebih tinggi.

Inisiatif yang digerakkan oleh Astro menerusi Astro Arena itu menyasarkan penyertaan belia wanita berusia antara 15 hingga 24 tahun, termasuk pelajar sekolah, mahasiswa serta orang awam yang berminat mengembangkan potensi dalam sukan bola jaring.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata program berkenaan diwujudkan sebagai platform bagi memberi ruang kepada generasi muda menonjolkan kemampuan mereka dalam suasana latihan yang lebih profesional.

Menurutnya, usaha itu turut membuka peluang kepada peserta untuk memperlihatkan bakat kepada jurulatih serta persatuan negeri, sekali gus memperluaskan peluang mereka melangkah ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

“Klinik NSL diwujudkan sebagai ruang untuk belia menonjolkan bakat dan melihat sejauh mana potensi yang mereka miliki. Matlamat kami ialah membuka laluan agar impian mereka dalam bola jaring menjadi lebih hampir untuk direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Program berkenaan juga menawarkan modul latihan merangkumi aspek teknikal, taktikal, kecergasan dan pembentukan mentaliti kompetitif dengan bimbingan jurulatih profesional serta pemain elit negara.

Selain itu, Klinik NSL 2026 turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan wanita dari peringkat sekolah hingga universiti.

Penyertaan bagi program berkenaan adalah percuma namun tempat adalah terhad kepada jumlah peserta yang ditetapkan.

Sementara itu, musim kelima Netball Super League dijadual membuka tirai bermula 17 April ini dengan penyertaan lapan pasukan terbaik yang bakal bersaing bagi merebut kejuaraan.

Ringkasan AI

  • PROGRAM pembangunan akar umbi bola jaring negara diperkukuh dengan Klinik NSL 2026 yang menumpukan pada bakat muda wanita
  • Inisiatif oleh Astro melalui Astro Arena untuk belia wanita berusia 15 hingga 24 tahun dalam sukan bola jaring
  • Klinik NSL diwujudkan sebagai platform untuk menonjolkan kemampuan generasi muda dalam suasana profesional
  • Program menawarkan modul latihan yang merangkumi aspek teknikal, taktikal, kecergasan dan mentaliti kompetitif
  • Memperoleh sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi
Scroll to Top