KLN nafi dakwaan gagal bantu rakyat Malaysia terkandas di Dubai

KLN nafi dakwaan gagal bantu rakyat Malaysia terkandas di Dubai

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri mengambil maklum mengenai satu hantaran tular di media sosial yang mendakwa bahawa Perwakilan Diplomatik Malaysia di Emiriah Arab Bersatu gagal memberikan bantuan kepada seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai.

KLN berkata, pihaknya memahami sepenuhnya kebimbangan dan tekanan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia susulan penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan secara mengejut, khususnya di hab transit global utama seperti Dubai.

Menurutnya, pada masa ini, dianggarkan terdapat kira-kira 29,000 rakyat Malaysia di seluruh rantau Timur Tengah yang terjejas.

“Di Emiriah Arab Bersatu sahaja, terdapat sekitar 8,500 rakyat Malaysia, termasuk mereka yang bermastautin serta yang sedang transit atau terkandas akibat gangguan penerbangan baru-baru ini.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 5,900 individu telah mendaftarkan keberadaan mereka secara rasmi dengan Perwakilan Malaysia.

“Angka-angka ini dijangka berubah dari semasa ke semasa selaras dengan pergerakan perjalanan dan pertambahan pendaftaran oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KLN, sejak tercetusnya krisis ini, Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai beroperasi tanpa henti, termasuk pada hujung minggu.

“Semua talian telefon rasmi, talian pegawai bertugas, serta saluran e-mel kekal aktif sepenuhnya. Dalam keadaan jumlah panggilan yang tinggi, pegawai telah berusaha menghubungi semula panggilan yang terlepas serta membuat susulan secara langsung, termasuk melalui aplikasi pesanan ringkas.

“Selain itu, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya dan beroperasi 24 jam sehari bagi menyokong usaha penyelarasan serta menjawab pertanyaan orang awam.

“Mengambil kira skala situasi ini dan jumlah rakyat Malaysia yang besar di rantau berkenaan, Perwakilan Diplomatik Malaysia telah melaksanakan satu rangka kerja keutamaan (prioritisation framework) bagi memastikan kes-kes mendesak diberikan perhatian segera,” katanya.

Katanya, keutamaan diberikan secara aktif kepada individu yang mempunyai keperluan perubatan kritikal, mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal atau sumber kewangan, warga emas, keluarga yang mempunyai anak kecil, pelajar, serta mana-mana individu yang menghadapi kesulitan serius dan segera.

“Pendekatan berstruktur ini memastikan bantuan disalurkan terlebih dahulu kepada mereka yang berada dalam keadaan paling kritikal, sementara pasukan kami terus memberikan sokongan dan panduan kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

“Kami amat menghargai kefahaman dan kesabaran mereka yang berada dalam keadaan selamat, kerana ia membolehkan pegawai kami memberi keutamaan kepada kes-kes yang benar-benar mendesak.

“Kami juga memohon agar mereka yang berada dalam keadaan selamat memberikan sedikit ruang dan kesabaran sementara pegawai kami terus berusaha tanpa henti menguruskan situasi yang sedang berkembang pesat ini untuk semua rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya.

KLN berkata, kementerian ingin menegaskan bahawa bantuan diberikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa sebarang perbezaan. Keutamaan mutlak adalah keselamatan dan kebajikan setiap warganegara.

“Dalam suasana ketidaktentuan serantau, penyebaran maklumat yang tidak lengkap atau mengelirukan boleh secara tidak sengaja menjejaskan keyakinan awam serta menyukarkan usaha penyelarasan yang sedang dijalankan.

“Sehubungan itu, kami menggesa semua rakyat Malaysia supaya merujuk hanya kepada saluran rasmi kementerian dan terus berhubung secara langsung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular digalakkan untuk terlebih dahulu menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat melalui nombor telefon dan alamat e-mel rasmi yang telah disediakan.

“Sekiranya bantuan lanjut diperlukan, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya yang beroperasi 24 jam boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top