Klon MyKad beli Iphone, lelaki tempatan ditahan

Klon MyKad beli Iphone, lelaki tempatan ditahan

am@hmetro.com.my

Pokok Sena: Lelaki ditahan disyaki memiliki MyKad klon dan menggunakannya untuk membeli telefon pintar terkini jenama Iphone.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan pada 7.30 malam Jumaat di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Katanya, tangkapan itu dilakukan selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima laporan seorang lelaki yang mendakwa kad pengenalannya sudah diklon dan digunakan untuk membeli iPhone menerusi pembiayaan syarikat pinjaman berlesen.

“Hasil laporan itu, JPN melakukan risikan dan satu tangkapan ke atas suspek dibuat… ketika waktu buka puasa itu kita pergi tangkap.

“Siasatan awal setakat ini apabila kita buat pemeriksaan badan, kita telah jumpa satu lagi MyKad palsu dalam dompet dia.

“Hari ini kita telah bawa dia ke Mahkamah Majistret untuk tujuan reman,” katanya pada sidang media selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Masjidar-Raudhah di sini, malam ini.

Ketika ditanya adakah kes itu membabitkan sindiket, Saifuddin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan tidak menolak akan ada tangkapan susulan dibuat susulan penahanan suspek.

“Media akan terus dikemas kini mengenai perkembangan siasatan kes ini,” katanya memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Semalam media melaporkan seorang lelaki terkejut apabila mendapati terdapat rekod pembelian iPhone 16 Promax 1TB di sebuah kedai di Cheras menerusi pembiayaan syarikat pinjaman berlesen yang menggunakan MyKad miliknya, disyaki diklon.

Mohamad Hafis Aliaziz dilapor berkata, dia mengesan rekod itu ketika mahu menyemak jumlah mata ganjaran oleh syarikat berkenaan menerusi aplikasi.

“Aku tahu MyKad kena klon ni bila aku semak dalam aplikasi, tiba-tiba ada pinjaman beli Iphone 16 Promax 1 TB lebih RM14,000.

“Tahun 2013, aku pernah hilang MyKad bila rumah kena masuk pencuri. Dompet dan telefon hilang. Jadi aku ada buat laporan tentang kes itu dulu,” katanya dalam hantaran media sosial.

Namun katanya, kisah itu muncul kembali apabila terdapat penggunaan MyKad miliknya tetapi dengan wajah orang lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top