Klopp mahu bina kembali Liverpool

Klopp mahu bina kembali Liverpool

JURGEN Klopp melihat keperluan untuk membina kembali Liverpool sebagai faktor utama di sebalik keputusannya menandatangani kontrak baharu dengan kelab itu tahun lalu.

Klopp yang sudah memenangi tujuh trofi bersama Liverpool termasuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara telah menandatangani kontrak sehingga 2026.

Namun, untuk musim ini, Liverpool tampil dengan persembahan kurang memuaskan dan berada di kedudukan kesembilan liga, 10 mata di belakang pasukan yang berada di kedudukan empat terbaik.

Penyokong juga menyarankan pembaharuan dilakukan Klopp selepas melihat beberapa tonggak utama seperti Jordan Henderson dan Fabinho bergelut untuk membantu pasukan.

“Saya tidak mengatakan ia adalah cabaran terbesar, tetapi ia tetap adalah satu cabaran. Ia adalah salah satu sebab utama mengapa saya menandatangani kontrak baharu, kerana saya tahu pasukan perlu dibina semula.

“Ia tidak akan berlaku dalam tempoh yang pantas. Saya bukan pekerja yang mempunyai keajaiban. Pasukan ketika ini mengalami banyak masalah kecederaan dan itu menjadikan keadaan benar-benar rumit.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan itu kerana jelas saya tahu majoriti dunia luar hanya berminat dalam jangka pendek, tetapi kami juga perlu fokus jangka panjang,” katanya.

Liverpool bukan satu-satunya pasukan gergasi yang berada di kedudukan pertengahan liga dengan Chelsea berada di bawah mereka dibezakan perbezaan gol selepas kedua-dua pasukan itu seri tanpa jaringan pada hari Sabtu.

Walaupun Chelsea telah berbelanja besar untuk menarik Mykhaylo Mudryk dan Benoit Badiashile dalam jendela perpindahan semasa, Klopp menegaskan Liverpool tidak mampu untuk melakukan perkara yang serupa.

“Terdapat banyak cara berbeza yang boleh anda lakukan, tetapi semuanya berdasarkan situasi yang anda alami.

“Chelsea dengan pemilikan baharu jelas sekali… tiada siapa yang tahu dengan tepat bagaimana mereka melakukannya, bagaimana mereka boleh membelanjakan wang sebanyak itu.

“Tiada siapa yang suka saya bercakap tentang pasukan lain, tetapi perubahan memerlukan masa jika anda tidak mempunyai wang. Jika tidak, anda boleh menukarnya dalam sekelip mata dengan membawa masuk 10 pemain serentak,” katanya