Klopp ucap tahniah, ramal masa depan cerah buat Liverpool

Klopp ucap tahniah, ramal masa depan cerah buat Liverpool

Liverpool: Jurgen Klopp mengucapkan tahniah kepada Liverpool atas kejayaan mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dan meramalkan masa depan yang cerah untuk bekas kelab bimbingannya itu.

Skuad yang menjuarai gelaran liga ke-20 – menyamai rekod Manchester United – pada Ahad lalu dalam musim pertama Arne Slot sebagai pengurus, hampir sepenuhnya dibentuk oleh Klopp sebelum beliau meninggalkan Anfield tahun lalu.

Selepas perlawanan terakhirnya pada Mei 2024, Klopp sempat menyanyikan nama Slot di atas padang, sesuatu yang dibalas dengan penghormatan oleh pengurus Belanda itu di Anfield.

“Amat berterima kasih untuk masa lalu, sangat, sangat gembira dengan masa kini dan amat positif tentang masa depan!” tulis Klopp di Instagram pada Isnin, disertakan gambar sambutan kejuaraan di Anfield.

“Syabas – YNWA (You’ll Never Walk Alone),” tambahnya.

Klopp turut menandatangani pesanan itu dengan ucapan “Terima kasih sayang” merujuk kepada frasa yang beliau pilih untuk dicetak di hadapan hoodienya semasa majlis perpisahan, bagi menghargai ungkapan yang membuatnya berasa seperti berada di rumah di Liverpool.

Slot dalam beberapa kenyataan sebelum ini, sering menyatakan rasa terima kasihnya terhadap kualiti skuad yang diwarisi daripada Klopp, dan sekali lagi menyampaikan penghargaan selepas kemenangan 5-1 ke atas Tottenham pada Ahad.

Malah, dalam temu bual di atas padang, beliau turut sama menyanyi meraikan kejayaan.

Klopp yang sebelum ini pernah membimbing Borussia Dortmund itu membawa Liverpool meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan EPL serta beberapa trofi lain sepanjang tempoh sembilan tahunnya di kelab itu.

Kini, beliau berkhidmat sebagai ketua global bola sepak di Red Bull.

Slot turut mengulangi dalam sidang media selepas perlawanan betapa legasi yang ditinggalkan Klopp sangat membantu kejayaannya.

“Saya rasa, tiada seorang pun pengurus sebelum ini yang melakukan perkara seperti itu. Jadi, itu sememangnya membantu saya,” katanya.

“Tetapi lebih penting lagi, beliau membantu saya melalui pasukan yang ditinggalkannya dan budaya diterapkan dalam pasukan itu.

“Kualiti pemain memang jelas untuk semua orang lihat, tetapi budaya kerja keras, bukan hanya dalam kalangan pemain, malah staf adalah sesuatu yang luar biasa,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top