Kuala Lumpur: Slot untuk rakyat Malaysia bagi acara larian terulung negara, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 yang akan berlangsung pada 3 dan 5 Oktober depan, secara rasmi telah habis terjual.
Penganjur KLSCM 2026, Dirigo Events dalam kenyataan memaklumkan, pendaftaran untuk rakyat Malaysia yang dibuka pada 10 pagi tadi mencapai kapsiti maksimum dan habis dalam masa kira-kira lima jam sahaja.
“Pelari yang tidak berjaya mendapat slot dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti promosi akan datang daripada rakan rasmi KLSCM yang menawarkan penyertaan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Projek KLSCM dan Pengarah Dirigo Events, Rainer Biemans berterima kasih kepada peminat acara larian atas sambutan serta sokongan luar biasa mereka untuk sukan itu dan KLSCM.
“Kami tidak sabar untuk melihat setiap peserta menampilkan yang terbaik pada acara itu dan mengalu-alukan lebih ramai pelari antarabangsa ke acara ‘Hari Raya untuk pelari’ ini,” katanya dalam kenyataan sama.
Bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, Biemans turut mengumumkan penduduk bukan warganegara Malaysia masih boleh mendaftar untuk KLSCM 2026 hingga 31 Julai ini atau hingga 4,000 slot antarabangsa habis diisi.
KLSCM edisi ke-18 itu menampilkan empat kategori individu iaitu maraton, separuh maraton, 10 kilometer (km) dan 5 km selain 2km dan 800 meter untuk kanak-kanak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




