Kluster Jalan Laksamana di 6 negeri

Kluster Jalan Laksamana di 6 negeri

fidahruzki@bh.com.my

PUTRAJAYA: Satu kluster membabitkan jangkitan di tempat kerja kini sudah dikesan di enam negeri. Kluster Jalan Laksamana dikesan membabitkan satu program latihan yang dijalankan di Manjung, Perak antara 22 hingga 26 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes indeks dalam kluster ini dikesan positif COVID-19 pada 3 Mac lalu hasil saringan rentas negeri.

“Kluster tempat kerja ini membabitkan daerah Manjung dan Kuala Kangsar di Perak; daerah Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur; daerah Kota Belud di Sabah; daerah Bachok di Kelantan; daerah Kuala Nerus di Terengganu; serta daerah Timur Laut di Pulau Pinang.

“Dua kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 3 Mac lalu hasil saringan rentas negeri. Kes-kes dalam kluster ini mempunyai sejarah menghadiri latihan yang dijalankan dari 22 Februari sehingga 26 Februari 2021 di Manjung, Perak.

“Hingga hari ini, 59 individu sudah disaring, yang mana 23 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster barkaitan komuniti di Sarawak iaitu Kluster Jalan Main Bazaar (Sri Aman); Kluster Sena (Miri dan Subis) dan Kluster Buloh Pasi (Meradong).

Kluster Jalan Main Bazzar membabitkan seorang kes indeks yang dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Mac lalu hasil saringan pra pembedahan dan sudah menjangkiti 12 individu; Kluster Sena membabitkan kes indeks yang dilaporkan positif pada 25 Februari lalu hasil saringan individu bergejala dan sebanyak 61 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kes indeks bagi Kluster Buloh Pasi dilaporkan positif COVID-19 pada 20 Februari lalu hasil saringan pra pekerjaan. Hingga hari ini, sejumlah 267 individu sudah disaring, dengan 21 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Selain empat kluster berkenaan, KKM turut melaporkan enam kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Industri Dua, Kluster Tempua dan Kluster Jalan Kunci Air di Selangor; Kluster Jalan Pelepas Dua di Johor; Kluster Lintang Bayan Lepas di Pulau Pinang; dan Kluster Ladang BUkit di Terengganu.

Setakat ini sebanyak 1,232 kluster direkodkan termasuk 10 yang dilaporkan hari ini manakala sebanyak 792 kluster sudah ditamatkan termasuk 10 kluster yang tamat pada hari ini.

“Kluster yang ditamatkan ialah Kluster Jalan Budiman, Kluster Jalan Harmonium, Kluster Batu 38, Kluster Taman Segar, Kluster Industri Bentong Sebelas, Kluster Jalan Pengkalan, Kluster Jalan Firma Tiga, Kluster Jalan Canggih, Kluster Tapak Bina Jalan Panah, dan Kluster Bintang Daily.

“Setakat ini ada 440 kluster yang sudah ditamatkan. Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini ialah 60 kluster; dan kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Lintang Bayan Lepas (26 kes), Kluster DTI Persiaran Wawasan (26 kes), dan Kluster Teknologi Emas (24 kes),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top