Kodi tarik perhatian peminat

Kodi tarik perhatian peminat

mohamadridzuan@hmetro.com.my

REZEKI memang tidak salah alamat. Kata-kata ini sesuai dikaitkan dengan perjalanan karier pelakon, Kodi Rasheed.

Selepas menang gelaran Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi filem Ophilia pada 2014, namanya seakan tenggelam seketika dari pentas industri lakonan tanah air.

Bagaimanapun, kemunculan Kodi atau nama sebenarnya, Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed, 33, membawakan watak Firdaus dalam filem Sheriff : Narko Integriti seakan membawa sinar baru dalam kariernya apabila mendapat perhatian peminat.

“Sejak awal saya percaya rezeki itu daripada Allah. Jadi, saya tak kejar populariti sebaliknya kejar kualiti. Saya percaya dengan adanya kualiti kita akan kekal dalam industri ini.

“Apabila buat kerja bagus, populariti akan datang sendiri. Saya selalu berdoa, berusaha dan tawakal. Kalau orang nampak saya atas kerja saya yang orang suka dan gembira, Alhamdulillah saya pun gembira juga.

“Saya juga masih mencari peluang-peluang yang ‘best’. Bukan memilih tapi masih lagi cari peluang. Ramai orang yang nak jadi hero filem, nak watak ‘best’ dan saya pun ada impian itu juga,” katanya.

Kodi berkata, selepas Sheriff : Narko Integriti mendapat sambutan di Malaysia, peminat mula menyukai lakonan serta wataknya dalam filem itu.

“Saya tanya ramai orang, tanya dengan pengarah dan tengok media sosial ramai yang suka dengan watak itu dan suka dengan beberapa babak saya. Alhamdulillah, watak saya itu dah berjaya.

“Saya okay dan gembira dengan kerja saya. Tahun ini genap 10 tahun saya dalam lakonan. Rasanya 10 tahun itu belum lama lagi, baru pertengahan nak dibandingkan dengan pelakon hebat lain. Masih banyak lagi saya perlu belajar dan timba ilmu.

“Banyak juga watak-watak yang saya belum bawa. Insya-Allah saya akan gunakan peluang-peluang yang ada sekiranya saya dapat watak yang baik-baik, bagus dan seronok untuk orang lebih suka dan tertarik dengan watak-watak yang dibawakan nanti,” katanya.

Satu perkara yang jelas, Kodi tidak menggunakan jalan pintas untuk mencari peluang berlakon seperti ‘mengipas’ penerbit, pengarah dan orang-orang tertentu semata-mata mahukan tawaran.

“Saya buat saja kerja saya bagus-bagus. Kalau orang nampak kerja saya dan nak bagi watak hero, alhamdulillah saya OK. Janji mereka ambil saya berbaloi sebab saya selalu titik beratkan perkara ini.

“Kadang-kadang orang panggil sebagai cameo berlakon hanya tiga babak hingga saya terfikir kenapa perlu bagi saya cameo, kenapa tak bagi orang lain. Saya tetap caj harga saya, bukanlah mahal tapi ia harga standard.

“Tapi saya kasihankan penerbit juga. Mereka kadang-kadang dapat tak seberapa pun. Kita faham adat berniaga. Jadi, setakat cameo nak panggil saya dan tak gunakan saya sebaik mungkin itu agak rugi bagi mereka. Maksudnya mereka tak manfaatkan saya sebaik mungkin. Dia tak korek bakat saya dan apa yang saya belajar selama ini.

“Apa yang mereka nak. Kalau begitu, maksudnya filem ini untuk jual. Maksudnya cara ini salah. Sebab untuk jual yang pertama adalah cerita, kedua macamana mereka pasarkan filem dan ketiga baru tonjolkan pelakon,” katanya.

Kodi bakal tampil menerusi filem terbaru Abnormal Buas yang akan ditayangkan pada 20 Jun ini. Filem terbitan Aeril Zafrel ini menampilkan sisi lakonan berbeza Kodi sebagai perompak yang bergandingan dengan Adlin Aman Ramli dan Emelda Rosmila merompak sebuah rumah sehingga mencetuskan konflik di luar dugaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top