Koepka berpisah dengan LIV Golf kerana urusan keluarga

Koepka berpisah dengan LIV Golf kerana urusan keluarga

Los Angeles: Pemenang liga kejohanan utama, Brooks Koepka meninggalkan LIV Golf atas alasan keluarga, umum kejohanan sirkit yang disokong Arab Saudi itu, hari ini.

Koepka yang muncul antara pemain berprofil tinggi menyertai LIV ketika jelajah itu dilancarkan pada 2022, kini berpotensi kembali ke Jelajah PGA, menurut laporan media Amerika Syarikat (AS).

“Kami mencapai persetujuan secara baik dan bersama bahawa Brooks Koepka tidak lagi akan bersaing dalam Liga Golf LIV selepas musim 2025,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LIV Golf, Scott O’Neil, dalam satu kenyataan.

“Brooks mengutamakan keperluan keluarganya dan mahu berada lebih dekat dengan rumah. Kami menghargai sumbangan besar beliau kepada sukan ini dan mendoakan kejayaan berterusan, sama ada di dalam atau di luar padang.”

Keputusan Koepka dibuat selepas isterinya, Jena Sims, mendedahkan pada Oktober lalu bahawa beliau mengalami keguguran ketika kandungan berusia 16 minggu.

Wakilnya berkata, pemain AS berusia 35 tahun itu, yang menjuarai Terbuka AS berturut-turut pada 2017 dan 2018, memutuskan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

“Keluarga sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan Brooks, dan beliau merasakan ini adalah masa yang tepat untuk menghabiskan lebih banyak masa di rumah,” kata wakil Koepka dalam kenyataan.

“Brooks akan terus menjadi penyokong besar LIV Golf dan mendoakan kejayaan berterusan buat liga itu serta pemainnya.”

Mengikut peraturan semasa, pemain LIV Golf perlu menjalani penggantungan selama setahun sebelum dibenarkan kembali ke Jelajah PGA.

Jelajah PGA tidak memberikan komitmen jelas mengenai garis masa kemungkinan kepulangan Koepka.

“Brooks Koepka adalah seorang profesional yang sangat berjaya, dan kami mendoakan kejayaan berterusan buat beliau dan keluarganya,” kata kenyataan Jelajah PGA kepada ESPN.

“Jelajah PGA terus menawarkan persekitaran paling kompetitif, mencabar dan lumayan kepada pemain golf profesional terbaik untuk mengejar kecemerlangan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top