NUKU’ALOFA: Kokain bernilai AS$1 juta (RM4.24 juta) ditemui hanyut di daratan di pantai Tonga sambil polis melakukan pencarian di sekitar pantai berdekatan bagi menemui lebih banyak bungkusan haram yang serupa, hari ini.
Penduduk menemui bungkusan berisi dadah di utara Kepulauan Vava’u negara pasifik itu lalu menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Halatoa Taufa, berkata pihaknya bekerjasama dengan tentera laut bagi menjejaki kawasan yang berpotensi menjadi tempat asal dadah itu.
“Ini berikutan terdapat kemungkinan lebih banyak bungkusan dihanyutkan ke pantai dan kami meminta mana-mana anggota masyarakat segera menghubungi polis jika mereka menjumpai atau mempunyai maklumat berkenaan penemuan dadah berkenaan,” katanya.
Katanya, bungkusan yang baru ditemui adalah hampir sama dengan yang dijumpai di Vava’u sebelum ini.
Bangkai kapal layar JeReVe ditemui di sebuah terumbu karang terpencil pada 2012, dengan bongkah kokain bernilai hingga AS$120 juta (RM508.80 juta).
Pada 2017, tentera laut Perancis memintas kapal layar yang membawa kokain bernilai AS$100 juta dekat perairan Tonga.
Setahun selepas itu, polis menemui kokain bernilai AS$13 juta (RM55.12 juta) di sebuah pulau terpencil.
Tonga disenaraikan Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘tidak seimbang dari segi geografi’ yang berkaitan dadah dan jenayah berikutan berada di laluan yang digunakan oleh pembuat dadah haram di Asia dan Amerika Selatan untuk dipasarkan di pasaran utama di Australia dan New Zealand. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




