Kolaborasi FINAS, Tourism Malaysia lonjak produksi global

Kolaborasi FINAS, Tourism Malaysia lonjak produksi global

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Perkembangan industri hiburan tanah air yang menunjukkan peningkatan positif menggerakkan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Tourism Malaysia untuk saling berganding bahu.

Bersandar matlamat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penggambaran antarabangsa melalui integrasi industri kreatif dan pelancongan, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menyifatkan kerjasama dijalin dengan Tourism Malaysia adalah pendekatan baharu yang membawa banyak memanfaatkan dalam menjana ekonomi negara.

“Menerusi kandungan filem dan televisyen dihasilkan menjadi medium strategik dalam mempromosi keunikan budaya, warisan serta destinasi pelancongan Malaysia kepada pasaran global.

“Ditambah dengan adanya Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang diperkenalkan sejak 2013 dilihat menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan industri dengan pencapaian diraih.

“Sehingga kini, sebanyak 243 produksi diluluskan merangkumi 129 adalah syarikat tempatan, manakala 114 lagi dari antarabangsa.

“Malah, lebih RM2 bilion perbelanjaan langsung dapat dijana untuk ekonomi negara menerusi industri hiburan selain menyediakan kira-kira 31,050 peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.

Menurut Azmir, dengan pencapaian itu membuktikan industri perfileman bukan sahaja menyumbang pendapatan kepada penggiat kreatif, malah turut memberi impak langsung kepada ekosistem ekonomi negara secara menyeluruh.

Katanya, pada masa ini Malaysia dilihat berjaya menarik produksi antarabangsa dalam usaha memperkukuh jenama negara sebagai destinasi popular untuk tujuan ‘screen tourism’.

Dalam pada itu, Tourism Malaysia diwakili Ketua Pengarah, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim menyifatkan FINAS yang bertanggungjawab menerajui pembangunan kandungan kreatif berupaya membawa impak tinggi untuk menonjolkan keunikan Malaysia

“Kami (Tourism Malaysia) pula turut sama menyediakan akses kepada aset promosi strategik termasuk bahan visual, kempen nasional dan platform global.

“Apa yang pasti, kerjasama murni antara kedua-dua pihak iaitu FINAS dan Tourism Malaysia sebenarnya sudah berlaku lama. Kami masing-masing saling berusaha membantu perkembangan industri kreatif.

“Ditambah tahun ini juga, Tourism Malaysia menyemarakkan kempen Melawat Malaysia 2026, sekali gus menjadi sinergi memperkukuh pendekatan pemasaran negara melalui kandungan ‘driven nation branding’.

“Ia sama sekali dilihat selaras dengan ‘trend’ global yang menggabungkan industri kreatif dan pelancongan. Justeru, kedua-dua industri ini akan bergerak seiring untuk kemajuan ekonomi,” katanya.

Terdahulu, Azmir dan Mohd Amirul Rizal menandatangani MoU antara FINAS bersama Tourism Malaysia di pawagam P Ramlee, Bangunan FINAS Hulu Kelang, di sini, baru-baru ini.

Difahamkan, selain bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas KLCC yang sudah dikenali di luar negara, mercu tanda baharu iaitu Menara Merdeka 118 kini berjaya mempromosikan imej Malaysia.

Penggambaran filem Hollywood, Thunderbolts terbitan Marvel Studios di sekitar Kuala Lumpur dan Menara Merdeka 118 itu sangat membantu melonjakkan nama Malaysia di pentas global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top