am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan kolam pameran penyu di tapak Pesta Pelita Raya (PPR) di Gong Badak, Kuala Nerus, ditutup serta-merta petang semalam.
Arahan itu dikeluarkan selepas tular di media sosial mengenai tindakan sebuah pavilion daerah yang menyertai PPR, menjadikan penyu sebagai tarikan dengan meletakkan haiwan itu di dalam kolam sempit di tapak pesta berkenaan.
Tindakan itu mengundang kecaman pencinta haiwan dan warga maya yang mendakwa hidupan marin yang dilindungi itu diperlakukan secara tidak wajar serta terdedah kepada persekitaran tidak sesuai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan segera diambil sebaik sahaja beliau menerima aduan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi media sosial.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan penyu adalah spesies dilindungi dan sensitif terhadap cahaya terang serta persekitaran bising seperti di tapak PPR.
“Saya ditanda dalam satu hantaran di media sosial oleh sebuah NGO alam sekitar mengenai perbuatan ini dan tindakan drastik terus diambil oleh penganjur PPR,” katanya.
Menurutnya, kolam penyu yang dikendalikan oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD) itu kemudian dialihkan serta dibawa keluar dari tapak pesta petang semalam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemilik pavilion supaya lebih peka serta sensitif dalam merancang sebarang aktiviti bagi menarik pengunjung supaya tidak menyalahi undang-undang atau menjejaskan kebajikan haiwan.
Sementara itu, Pengarah JPNT, Hilman Hajijan berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu dan mengarahkan pameran berkenaan dihentikan serta-merta demi kebaikan semua pihak.
“Saya sendiri sebagai pencinta penyu tidak menyokong tindakan itu kerana kita sedia maklum penyu tidak sesuai ditempatkan dalam ruang sempit dan terdedah kepada cahaya terang.
“Pihak penganjur juga tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pameran itu,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu menjadi pengajaran buat pihaknya untuk memperketatkan garis panduan pada masa akan datang dalam menganjurkan sebarang program.
Katanya, pihaknya berharap insiden itu tidak berulang dan mahu orang ramai terus melihat PPR sebagai simbol tradisi Ramadan yang cukup sinonim dengan masyarakat Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




