harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: 150 keris antik yang dikumpul sejak tiga dekad lalu musnah dalam kebakaran rumah setinggan di Jalan Pantai Dalam, di sini, semalam.
Mangsa, Nik Maliki Nik Him, 41, berkata, dia mula mengumpul keris sejak berusia 11 tahun dan baginya ia sesuatu yang amat bernilai buat dirinya.
“Ketika kejadian, ibu saya dan adik-beradik lain balik kampung, ada kenduri, jadi ketika kejadian tiada orang di rumah itu. Saya pula berada di rumah saya di Cheras.
“Sebelum terbakar saya ada di kawasan itu, kerana saya memang selalu ada di sini, saya ada bengkel dan barangan perniagaan air balang saya juga ada di rumah mak.
“Barangan lain seperti peti ais, mesin basuh dan lain-lain memang musnah tetapi yang paling saya terkilan koleksi keris saya yang sangat bernilai,” katanya kepada Harian Metro.
Nik Maliki yang bekerja sebagai kontraktor berkata, dia bersyukur ahli keluarganya tiada di rumah ketika kejadian dan tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran itu.
Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa menanggung kerugian mencecah RM50,000 membabitkan koleksi keris yang bernilai ribuan ringgit, perabot, peralatan elektronik dan wang tunai kira-kira RM10,000 turut musnah dalam kebakaran itu.
“Perasaan memang sedihlah, duit dan barang-barang berharga, ada peninggalan harta pusaka pun ada yang musnah, geran motosikal dan yang paling sedih, barang besi (keris) saya lah.
“Nak cari balik memang susah, kita dah simpan lama, sejak umur 11 saya dah mula minat dan kumpul, benda ini kalau ada duit pun belum tentu boleh dapat semula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd