KOMAS jadi saluran DPMM Selangor teroka peruncitan, kesihatan

KOMAS jadi saluran DPMM Selangor teroka peruncitan, kesihatan

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Negeri Selangor (DPMM Selangor) menyatakan minat untuk meneroka serta mengambil bahagian secara langsung dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan kesihatan melalui saluran koperasi.

Menurut kenyataan DPMM Selangor, hasrat tersebut akan digerakkan menerusi Koperasi Dewan Melayu Selangor Berhad (KOMAS) yang merupakan cabang perniagaan dan pelaburan DPMM Selangor.

KOMAS menyasarkan pelaburan serta peningkatan penguasaan Bumiputera dalam sektor kedai runcit, klinik perubatan, farmasi serta rangkaian kedai khusus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dengan nilai pasaran sektor peruncitan yang mencecah RM530 bilion serta pertumbuhan kadar perbelanjaan pengguna yang konsisten setiap tahun, penglibatan KOMAS dijangka mampu memberi impak besar kepada kemajuan ekonomi masyarakat Melayu dan negara.

DPMM Selangor turut berpandangan bahawa fokus KOMAS tidak boleh terhad kepada aspek fiskal semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi usaha memastikan lebih ramai golongan profesional perubatan Melayu terlibat dalam bidang perniagaan.

Sementara itu, Yang Dipertua DPMM Selangor, Mohd Azli Md Yusof berkata, saluran koperasi berperanan sebagai business vehicle yang mampu mengurus projek, menyediakan pembiayaan serta mengawal selia setiap pelaburan.

“Kekuatan koperasi bukan terletak pada wang ringgit semata-mata, sebaliknya sebagai satu kolektif yang saling menyokong dan mempercayai,” katanya ketika berucap pada Sesi Townhall DPMM Selangor yang dirasmikan Ahad lalu.

Dalam pada itu, ikhtiar DPMM Selangor dan KOMAS bukan sahaja dijangka memberi pulangan konsisten kepada ahli dan pelabur, malah turut menawarkan faedah tidak langsung seperti pemantapan rantaian bekalan, penyediaan perkhidmatan logistik serta pembangunan ekosistem halal.

Usaha tersebut juga diharap dapat memberikan manfaat berterusan kepada ahli, selain membuka peluang latihan dan pekerjaan kepada masyarakat.

Kesemua matlamat itu akan diusahakan secara kendiri selaras dengan pendekatan “Dari usahawan kepada usahawan” yang digerakkan oleh DPMM Selangor.

Terdahulu, Sesi Townhall DPMM Selangor telah dirasmikan oleh Presiden DPMM merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Norsyahrin Hamidon di ladang buah tin AKE Benefigs, di sini.

Dalam ucapannya, Norsyahrin mengalu-alukan inisiatif DPMM Selangor bagi memenuhi aspirasi Bumiputera melalui Gerakan Ekoniaga MADANI (GEMA) dan menyarankan agar ahli DPMM Selangor terus menyokong serta memaksimumkan peluang yang disediakan oleh pentadbiran DPMM negeri.

“Saya juga berharap agar ahli-ahli sentiasa peka terhadap situasi di lapangan masing-masing dan menjadikan DPMM sebagai platform untuk menyampaikan pandangan serta saranan kepada kerajaan,” katanya.

Pada program sama, turut berlangsung majlis pra-pelancaran KOMAS yang disempurnakan dengan acara simbolik penanaman tiga anak pokok tin oleh Norsyahrin bersama Pengerusi KOMAS, Ahmad Azmaizan Abdul Rahman serta Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM, Profesor Madya Dr Badrul Isa.

Ringkasan AI

  • Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Negeri Selangor berminat meneroka sektor peruncitan dan kesihatan melalui koperasi
  • KOMAS akan melabur di kedai runcit, klinik perubatan, dan toko farmasi untuk meningkatkan penguasaan Bumiputera
  • Keterlibatan KOMAS dijangka memberi impak positif kepada ekonomi masyarakat Melayu dan negara
  • Saluran koperasi digunakan sebagai cara untuk mengurus projek, pembiayaan, dan pelaburan
  • KOMAS dan DPMM Selangor menyasarkan manfaat seperti pemantapan rantaian bekalan dan peluang pekerjaan bagi masyarakat
Scroll to Top