saufi@mediaprima.com.my
Cyberjaya: Kegilaan kuasa tular di media sosial bagi mendepani gejala rasuah tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya masyarakat perlu mengutamakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan menyebarkan maklumat (tular) bukan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu rasuah berbanding pelaporan kepada pihak berkuasa mengikut lunas perundangan.
Itu tema dibawakan penuntut, Ainnur Najihah Mohd Sha’ari, 20, yang juga peserta pertandingan ‘Berani Bicara’ sempena Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) diadakan di Universiti Multimedia (MMU), di sini, semalam.
Pertandingan itu diadakan hasil kerjasama SPRM bersama MMU dalam mendidik graduan berhubung kepentingan integriti serta keburukan amalan rasuah.
Ainnur Najihah yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, kaedah terbaik untuk memerangi rasuah adalah mendahulukan pelaporan kepada SPRM untuk siasatan menyeluruh dilaksanakan.
“Tular untuk sedar, laporan untuk bertindak, kita tidak boleh terlalu mengutamakan tular sehingga melupakan aspek paling penting iaitu aduan atau laporan kepada pihak berkuasa.
“Pada masa sama, SPRM juga perlu terus menyalurkan maklumat dengan memaklumkan perkembangan siasatan supaya keyakinan semua lapisan masyarakat dapat dikembalikan kepada pihak berkuasa.
“Pencapai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) perlu lebih baik tahun demi tahun dengan pelbagai usaha membanteras gejala rasuah di semua peringkat, tidak mengira pangkat, jawatan dan sebagainya,” katanya.
Seorang lagi peserta yang juga penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Terengganu, Tengku Nur Solehah Tengku Azhar, 22, mahu pendidikan integriti diperkasakan sejak di sekolah lagi.
“Golongan pelajar juga terdedah dengan amalan mirip rasuah ini khususnya apabila memasuki pertandingan atau ketika menyiapkan tugasan dengan menjanjikan habuan tertentu kepada rakan yang membantu.
“Gejala rasuah ini tidak tertakluk kepada orang yang berpangkat saja tetapi kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KOMAWAR) adalah acara dwitahunan yang menghimpunkan mahasiswa dari seluruh negara untuk memperkukuh komitmen dalam memerangi rasuah.
Acara ini bertujuan untuk melahirkan generasi mahasiswa yang menolak rasuah dan menyuarakan suara pemimpin muda dalam mendukung nilai integriti dan ketelusan.
Selain itu KOMAWAR memberikan platform bagi mahasiswa untuk memahami lebih dalam tentang isu rasuah dan dampaknya terhadap negara.
Acara ini bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang memiliki integriti tinggi dan menolak segala bentuk rasuah selain memberi peluang kepada mahasiswa untuk menjadi agen perubahan dalam masyarakat dengan berani menyuarakan kebenaran dan menentang rasuah.
© New Straits Times Press (M) Bhd