am@hmetro.com.my
TIGA isu kesihatan utama yang perlu diberi perhatian segera oleh lelaki Malaysia ialah obesiti, diabetes dan disfungsi ereksi (ED).
Kesihatan golongan ini juga terus menjadi isu penting dalam kalangan masyarakat.
Ramai menganggap tekanan kerja dan tanggungjawab keluarga sebagai punca utama masalah kesihatan, tetapi realitinya jauh lebih kompleks.
Penyakit tidak berjangkit (NCD) semakin meningkat dan menjejaskan kualiti hidup ramai lelaki dewasa, baik daripada segi fizikal, mental mahupun hubungan peribadi.
Ketiga-tiga isu kesihatan ini berkait rapat dan data terkini menunjukkan, masalah ini semakin meluas.
Obesiti: Pencetus kepada pelbagai penyakit
Malaysia kini berada antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia.
Laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan bahawa lebih 54.4 peratus warga dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
Trend ini meningkat sejak sedekad lalu, dipacu oleh gaya hidup sedentari, pemakanan tinggi gula dan lemak selain tekanan kerja.
Walaupun dalam beberapa kajian, kadar obesiti lelaki mungkin lebih rendah berbanding wanita, lelaki yang menghidap obesiti dilaporkan menghadapi morbiditi dan mortaliti lebih tinggi akibat penyakit berkaitan obesiti.
Ini menjadikan isu obesiti dalam kalangan lelaki sebagai cabaran kesihatan awam yang kritikal dan memerlukan perhatian khusus.
Mengapa obesiti berbahaya kepada lelaki?
1. Meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar
2. Menyumbang kepada diabetes jenis 2
3. Menyebabkan masalah hormon, termasuk testosteron rendah
4. Menggandakan risiko disfungsi ereksi
5. Menyebabkan apnea tidur, yang sering tidak didiagnosis
Lelaki juga cenderung mengabaikan pemeriksaan kesihatan berkala, mengakibatkan penyakit dikesan pada tahap lewat.
Diabetes: Ancaman senyap yang makin tinggi
NHMS 2023 menunjukkan, 15.6 peratus orang dewasa menghidap diabetes.
Daripada jumlah itu, sekitar 9.7 peratus sudah didiagnosis, manakala 5.9 peratus tidak sedar paras gula darah mereka berada pada tahap berbahaya.
Data Pendaftaran Nasional Diabetes (NDR) 2023 menunjukkan komplikasi diabetes sangat tinggi.
Lebih 81 peratus pesakit menghidap hipertensi (tekanan darah tinggi), manakala 78 peratus pula mempunyai kolesterol tinggi.
Bagi lelaki, kombinasi obesiti, terutama obesiti perut, dengan diabetes sangat berbahaya.
Lemak berlebihan mengganggu keseimbangan hormon, meningkatkan rintangan insulin dan mempercepatkan kerosakan organ penting.
Diabetes juga boleh merosakkan saraf, mata, buah pinggang dan saluran darah, seterusnya meningkatkan risiko ED.
Kajian dalam repositori perubatan PubMed Central (PMC) menunjukkan bahawa kadar ED adalah jauh lebih tinggi dalam kalangan lelaki dengan diabetes, dipacu oleh mekanisme seperti rintangan insulin serta kerosakan pada sistem vaskular dan saraf.
Disfungsi Ereksi (ED): Lebih umum daripada disangka
Ramai lelaki menganggap ED sebagai isu seksual semata-mata, sedangkan kajian menunjukkan, ia boleh menjadi petanda awal penyakit jantung.
ED berlaku apabila aliran darah ke zakar berkurang, proses yang biasanya berpunca daripada masalah salur darah.
Data menunjukkan ED sangat meluas, tetapi jarang dibincangkan secara terbuka.
Kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) di Kuantan, Pahang mendapati, 69.3 peratus lelaki berumur 18-60 tahun mengalami ED pada tahap tertentu.
Kajian di Johor pula mencatatkan angka lebih tinggi iaitu 81.5 peratus.
Walaupun kajian tinjauan MIMS Malaysia melaporkan, 88 peratus responden mengenali ED, 41.5 peratus lelaki masih enggan mendapatkan rawatan kerana malu atau menganggap ia bukan masalah serius.
Kenapa lelaki Malaysia perlu bertindak sekarang
Peningkatan obesiti dan diabetes secara langsung meningkatkan risiko penyakit jantung, angin ahmar dan turut meningkatkan kadar ED.
Gabungan ketiga-tiga masalah ini akhirnya menjejaskan hubungan, keyakinan diri, kesejahteraan emosi dan produktiviti lelaki.
Masalah ini tidak boleh lagi dipandang ringan.
Berikut adalah langkah yang boleh diambil untuk mencegah masalah ini.
1. Buat saringan kesihatan berkala.
Ukur BMI, lilitan pinggang, paras gula dalam darah dan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun.
2. Tingkatkan aktiviti fizikal.
Lakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti intensiti sederhana setiap minggu.
Kurangkan masa duduk.
3. Jaga tidur dan pemakanan.
Tidur 7-8 jam, kurangkan gula, kurangkan minuman manis dan tingkatkan pengambilan sayuran.
4. Bincang secara terbuka dengan doktor.
ED bukan isu memalukan. Ia selalunya tanda awal masalah saluran darah yang lebih serius.
5. Kurangkan stigma.
Apabila lelaki mula bercakap dan mendapatkan rawatan, komplikasi boleh dicegah lebih awal.
Obesiti kini semakin diiktiraf sebagai penyakit kronik oleh banyak pertubuhan perubatan dunia, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ia ditakrifkan sebagai penyakit kompleks jangka panjang yang membabitkan pengumpulan lemak berlebihan sehingga menjejaskan fungsi tubuh serta meningkatkan risiko pelbagai komplikasi kesihatan.
Untuk maklumat lanjut mengenai obesiti, layari obesityisadisease-my.com.
Pencegahan bermula dengan kesedaran, pemeriksaan awal dan rawatan yang betul.
Kesihatan lelaki bukan hanya mempengaruhi diri sendiri, tetapi keluarga, ekonomi dan masa depan.
Penulis Pengarah Eksekutif dan pemilik bersama Primer Cherang Group
© New Straits Times Press (M) Bhd




