Komedi bukan sekadar bahan lawak

Komedi bukan sekadar bahan lawak

BILA menyebut tentang komedi, seniman P.Ramlee adalah contoh zaman-berzaman yang sarat dengan naskhah mencuit hati dan tidak kering gusi seperti Seniman Bujang Lapok, Laksamana Do Re Mi dan Nujum Pak Belalang. 

Lontaran dialog dan subjek yang diperkatakan sering mengena dengan situasi zaman sekarang, walaupun komedi tersebut sudah dilakonkan sejak puluhan tahun lalu. 

Pengarah dan pelakon berpengalaman, Sabri Yunus berpandangan komedi dahulu dan sekarang mempunyai persamaan kerana yang membezakan adalah pelakunya. 

“Buktinya, komedi dari zaman P.Ramlee masih diguna pakai sehingga sekarang. Bezanya adalah orang dahulu dan sekarang.

“Komedi tidak patut dibuat-buat kerana asasnya adalah spontan serta perlu mencari kandungan yang bijak,” katanya semasa sidang akhbar program baharu terbitan Astro Warna, Mega Spontan, baru-baru ini. 

Ditanya orang sekarang lebih bersikap terbuka terhadap kandungan lawak-lawak yang sensitif, Sabri bersetuju dengan perkara tersebut. 

Kata pengarah Pok Ya Cong Codei, zaman sekarang mempunyai lebih banyak gelanggang komedi berbanding zaman dahulu yang agak terbatas. 

“Kalau ia dipersembahkan di atas pentas komedi khalayak lebih menerima kerana dahulu tak banyak gelanggang komedi.

“Kalau komedi itu menjadi tular juga tidak menjadi masalah kerana orang ramai sudah boleh menerima ia sebagai medium kritikan dan teguran. 

“Kalau komedi hanya dianggap sebagai bahan lawak dan ketawa sahaja, maka peranannya tidak besar,” jelasnya.      

MEGA SPONTAN 

Sabri dipilih sebagai mentor bagi program komedi, Mega Spontan bersama Zizan Razak, Douglas Lim dan Kamal Adli. 

Mengulas cabaran yang bakal dipikul sepanjang lapan minggu bersiaran, Sabri berkata, dia memikul tanggungjawab besar untuk membuka minda peserta yang bakal dipilih kelak. 

“Rata-rata peserta masih baharu, jadi saya tidak tahu kemampuan mereka lagi. Spontan ini adalah benda yang cepat dan saya tak mungkin ajar orang buat komedi sebab komedi itu perlu dirasakan sendiri.

“Kalau sudah biasa mereka tahu hendak buat apa, tetapi ada yang masih kosong lagi,” katanya. 

Ditanya penglibatan penyanyi dan pelakon dalam program tersebut, Sabri berkata, dia tidak melihat ia sebagai satu masalah, malah meraikan kehadiran mereka yang akan memeriahkan lagi program tersebut. 

“Bagi saya bagus sebab selama ini kita hanya melihat pelawak yang sudah dikenali selama ini. 

“Peserta yang baru masuk mungkin ada kelebihan tertentu dan mesti ada nilai humornya sendiri. Jadi, di sinilah ruang untuk mereka belajar,” katanya. 

Berkongsi pengalaman, Sabri berkata, komedi perlu mencari ‘mangsa’ sebelum ‘memangsakan’ diri sendiri.

“Kalau di Barat, pelawak akan memangsakan Presiden mereka. Komedi yang tidak mempunyai mangsa akan memangsakan diri sendiri. 

“Contohnya: ‘Semalam, saya terjatuh longkang’. Itu memangsakan diri sendiri. Tidak menjadi masalah kerana ia bukan penghinaan,” katanya.  

Pertandingan lawak spontan ini akan dinilai oleh Datuk Afdlin Shauki sebagai Game Master yang akan menentukan peraturan setiap permainan serta mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan pemenang. 

Mega Spontan akan bersiaran secara langsung dari Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam, bermula 19 Mei ini.